Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu teksi ditetak di bawah jejantas
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 3:51 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Seorang pemandu teksi parah ditetak tiga lelaki di bawah jejantas di Lebuhraya Bandar Cassia, Batu Kawan malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam itu, N Arumugam, 58, cedera di lengan kiri akibat tetakan yang mengenai tulang lengannya sehingga menyebabkan ototnya terkoyak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafie Mamat berkata ketika kejadian pemandu teksi berkenaan membawa seorang penumpang untuk dihantar ke kawasan kilang di Batu Kawan.

"Penumpang berkenaan meminta dia memberhentikan teksinya di bawah jejantas kerana penumpang itu dikatakan hendak menghisap rokok.

"Ketika itulah mereka dihampiri dua motosikal yang dinaiki tiga lelaki bersenjatakan parang yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita.

Shafie menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Geprge Town hari ini.

Beliau berkata penumpang berkenaan sempat melarikan diri manakala pemandu itu terpaksa bergelut dengan tiga lelaki tersebut.

Pemandu teksi itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Di majlis itu, Timbalan Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain menerima tugas selaku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Razarudin, 53, menggantikan Datuk Mohd Zakaria Ahmad yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Johor berkuat kuasa Selasa ini.

Majlis serah terima tugas itu turut disaksikan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab.

- Bernama

Lihat Komen
ADS