Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan WSJ cemar nama Agong, dakwa setiausaha PM
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 4:20 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Setiausaha Akhbar Perdana Menter, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad membidas akhbar kewangan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report berhubung apa yang didakwanya sebagai "laporan palsu" serta tidak menghormati Raja-raja Melayu.

"Adalah mengaibkan bahawa nama baik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diheret dalam serangan media asing tertentu di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, sepanjang lebih sebulan akhbar berkenaan "dengan niat jahat" melaporkan bahawa Najib telah melantik sekutunya yang dikaitkan dengan 1MDB, iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai gabenor baru Bank Negara, walaupun tiada keputusan dibuat ketika itu.

"Semalam, pembohongan mereka terbongkar apabila Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai gabenor," katanya.

Tengku Sharifuddin berkata untuk menutup "pembohongan dan malu di peringkat antarabangsa", WSJ dan Sarawak Report mendakwa perdana menteri membuat pusingan U akibat tekanan.

"Kedua-dua mereka - Seri Paduka dan Irwan - kini secara terbuka menyatakan bahawa ini adalah palsu. Baginda hanya menandatangani satu pelantikan - iaitu untuk Muhammad pada 26 April - dan Irwan tidak pernah ditawarkan jawatan berkenaan," katanya.

Tengku Sharifuddin menegaskan bahawa WSJ dan Sarawak Report telah gagal menyediakan bukti untuk menyokong laporan mereka yang dakwanya tidak berdasarkan fakta, tetapi khabar angin daripada sumber-sumber yang tidak dinamakan.

"Sumber ini mungkin tidak wujud. Atau mereka mungkin satu lagi proksi untuk untuk Kempen Anti Najib oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pembohongannya dipercayai oleh WSJ dan Sarawak Report secara bulat-bulat.

"Ini adalah fantasi kewartawanan. Mereka tanpa malu menjaja pembohongan pembangkang sebagai fakta."

Tengku Sharifuddin berkata sudah tiba masanya untuk mendesak WSJ dan Sarawak Report menghentikan kempen ketara mereka terhadap Malaysia.

"Pembohongan mereka kini terbukti, dan rakyat Malaysia tahu bahawa apa yang diterbitkan mereka tidak boleh dipercayai," katanya.

Setiausaha akhbar perdana menteri itu merujuk laporan WSJ yang mendakwa Najib membuat pusingan U daripada keputusan awalnya untuk melantik Irwan sebagai gabenor bank pusat tetapi memilih bekas timbalan gabenor, Muhammad akhirnya, akibat tekanan awam.

Lihat Komen
ADS