Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden PAS Islamkan wanita Kristian dari Sabah
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 6:20 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Seorang wanita dari Kota Kinabalu, Sabah diislamkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Menurut Facebook beliau, pengislaman itu dibuat di rumah beliau di Marang, Terengganu pagi ini.

Rakaman saat-saat indah wanita itu juga dimuat naik di laman sosial itu.

Catatan di Facebook itu menyebut:

“Pagi Jumaat yang penuh keberkatan, usai kuliah dhuha di kediamannya bersebelahan Masjid Rusila, satu lagi sejarah tercatat apabila tok guru telah memimpin seorang wanita dari Kota Kinabalu, Sabah untuk memeluk Islam kembali kepada agama fitrah.”

video tersebut memaparkan Hadi memakai jubah dan serban berwarna putih.

Manakala, wanita tersebut memakai jubah dan tudung hitam.

Pengislaman itu disaksikan sekurang-kurangnya tiga orang individu.

Hadi sebelum memulakan acara bertanya serba sedikit pengetahuannya mengenai Islam.

“Dah tahukan tentang Islam sebelum ini? Dah dengar sikit-sikitkan? Ikut (mengucap).

Selepas itu beliau pun mengajar wanita itu mengucap dua kalimah syahadah.

“Cukuplah, dah jadi Islam,” ujar Hadi selepas itu.

Wanita yang asalnya menganuti agama Kristian itu kelihatan agak lancar mengucap kalimah Allah itu sambil bersila di lantai.

Hadi juga sempat berpesan kepada beberapa saksi yang hadir agar memberi pertolongan kepada wanita tersebut.

“Kena tolong-tolong (ajar agama),” kata Hadi.

Tahniah warga maya

Sementara itu, Hasil perkongsian video itu, jutaan ucapan tahniah diterima Abdul Hadi dan wanita berkenaan.

Pengguna maya juga turut mendoakan wanita terbabit terus istiqamah.

“Moga istiqamah hendaknya selepas ini.

“Selalunya saudara kita yang kembali pada fitrah jauh lebih istiqamah dan bersungguh pelajari dan beramal dengan agamanya, berbanding kita yang sedia ada lahir dalam Islam. Moga Allah rahmati kita semua,” tulis Nazrin Karim.

Begitu juga Zainol Abdidin Zainolabidinmdkhir yang mendoakan agar semakin ramai lain bukan Islam terbuka hati untuk memeluk Islam.

“Alhamdulillah, semoga saudara baru ini sentiasa dirahmati dan di bawah bimbingan Allah. Semoga segala masalah mendatang diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

“Semoga makin bertambahlah saudara baru kita selepas ini,” katanya.

Ketika laporan ini ditulis, video satu minit 13 saat itu dikongsi hampir 2,000 pengguna Facebook.

Lihat Komen
ADS