Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabib minta pampasan kerana cedera di lapangan terbang
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 6:34 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Seorang tabib Cina memohon pampasan daripada Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) kerana mendakwa tercedera akibat terkena serpihan jubin lantai pecah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada 16 April lalu.

Mak Ming Wai, 50, datang ke Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di Ipoh hari ini untuk membuat aduan.

"Semasa saya berjalan-jalan di sekitar koridor lapangan terbang, saya tergelincir kerana lantainya licin dan saya terkena serpihan jubin lantai yang pecah hingga menyebabkan tumit kaki kiri saya luka dan terbelah sebesar duit syiling 20 sen," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata akibat kejadian itu, beliau terpaksa berulang-alik ke klinik kesihatan bagi mendapat rawatan sehingga menjejaskan rutin hariannya.

"Oleh itu saya ingin menuntut pampasan dari MAHB melalui liabiliti awam kerana membiarkan lantai lapangan terbang pecah sehingga mendatangkan kecederaan kepada saya," katanya.

Sementara itu Pengurus Malaysia Airport Holding Bhd LTSAS, Mohd Ali Osman berkata pihaknya masih belum menerima aduan bertulis daripada mangsa mengenai kes tersebut.

"Mangsa ada menghubungi kami dan membuat aduan, namun kami belum menerima aduan secara bertulis daripadanya dan oleh itu sebarang tindakan lanjut agak sukar untuk dilakukan," tambahnya.

Beliau berkata pihaknya mengganggapp serius kes berkenaan dan lantai jubin itu telah dibaiki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS