Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tikam belakang Mahathir dijangkakan, kata Bung
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 7:43 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Seluruh negara terkejut apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politik tradisinya, iaitu pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang duduk sepentas untuk memeterai Deklarasi Rakyat untuk ‘Selamatkan Malaysia.

Deklarasi itu mempunyai matlamat khusus bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyelamatkan negara daripada salah laku guna kuasa oleh pentadbirannya.

Tetapi sekarang, seorang ahli parlimen Umno memperincikan bagaimana DAP ‘menikam’ bekas perdana menteri itu dalam kempen parti itu pada pilihan raya negeri Sarawak.

Bagi Datuk Bung Moktar Radin, perkara itu sudah dijangkakan kerana DAP melakukannya untuk kepentingan politik sendiri.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu merujuk kepada risalah DAP yang mendakwa bahawa apabila Mahathir mengambil alih kuasa dengan slogan "bersih, cekap, amanah" kerajaan yang diterajuinya kehilangan berbilion-bilion ringgit.

“Dari awal-awal lagi saya telah menyatakan yang Dr Mahathir telah terperangkap dengan permainan kotor pembangkang. Parti DAP memang terkenal dengan politik ‘double standard’ dan tak beretika.

“Kalau isu memihak kepada mereka, individu itu dianggap baik walaupun hakikatnya tidak baik. Tetapi kalau isu tidak memihak kepada mereka, itu dianggap salah dan mereka akan perangi habis-habisan,” katanya yang dipetik portal BNBBC.

Justeru, Bung Moktar menyarankan kepada beberapa pemimpin lain untuk bangkit daripada lamunan dan pengaruh retorik DAP, sekali gus menolak kepimpinan parti yang diterajui Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

“Saya menyatakan ini bukan sahaja kepada Dr Mahathir tetapi kepada semua pemimpin-pemimpin lain agar sedar dan menerima hakikat DAP sedang giat bermain semua sentimen semata-mata untuk memerintah negara ini.

“DAP juga akan terus menggunakan apa sahaja saluran dan cara untuk mencapai impian mereka memerintah di negara ini,” katanya.

Bung juga menyoal sama ada berbaloi untuk Mahathir bersekongkol dengan pembangkang, terutamanya DAP, untuk menjatuhkan Najib.

“Balasan sebeginikah yang diberikan DAP ketika mana mereka sanggup terima Dr Mahathir menjayakan Deklarasi Rakyat termasuk demonstrasi haram Bantah GST di ibu negara baru-baru ini, namun pada masa sama menghina negarawan itu?’ soalnya.

Lihat Komen
ADS