Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertembungan 6 DUN: Undi asal bukan BN - Wan Azizah

Walaupun berlaku pertembungan dengan DAP, namun, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berharap pengundi di enam buah kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak itu dapat memilih calon daripada Pakatan Harapan.

Malah, beliau turut menjelaskan, meskipun berlaku pertembungan kerusi namun hubungan antara pemimpin dua parti tersebut di peringkat Pusat tetap baik.

"Kita harap pengundi akan undi (calon) yang bukan BN.

"Kita di peringkat persekutuan kita ada hubungan yang baik antara parti Pakatan Harapan," katanya dalam sidang media sebelum melakukan tinjauan (walkabout) di Kampung Hilir, Sibu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keyakinan partinya itu untuk menang di enam buah kerusi yang bertembung dengan DAP.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon PKR DUN Nangka, Abdul Raafidin Majidi.

Enam kerusi yang bertembung iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Abdul Raafidin memberitahu bahawa debat yang ingin dianjurkan sebelum ini dibatalkan ekoran calon BN DUN Nangka Dr Annuar Rapaee menolak untuk hadir dalam acara tersebut.

Sehubungan itu, katanya, acara debat tersebut ditukar kepada program santai anak muda bagi beliau membentangkan manifestonya kepada penduduk di DUN Nangka.

"Saya akan bentang manifesto saya untuk DUN Nangka. Dan saya ada lima perkara dalam manifesto itu," katanya.

Antara manifesto itu ialah beliau berjanji untuk berada di DUN tersebut dan tidak membuka cawangan perniagaan di Kuala Lumpur atau di luar kawasan berkenaan, memastikan wang pampasan, derma mangsa kebakaran Kampung Datu dikembalikan, berjuang mempertahankan tanah asal orang Melayu, Cina dan Iban di DUN tersebut.

Lihat Komen
ADS