Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertama kali bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak tidak menjadikan Rinda Juliza Alexander gentar berdepan calon BN, Tan Sri William Mawan dan seorang lagi calon bebas pada 7 Mei ini.

Sebaliknya, bekas jururawat itu berkata apa yang penting baginya adalah penerimaan rakyat dan bagaimana untuk menambat hati penduduk DUN Pakan yang majoritinya kaum Iban.

"Saya tak takut William tapi saya lebih memikirkan bagaimana nak tambat hati rakyat.

"Apa yang boleh saya buat ialah saya akan menjadi suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Rinda, 31, dipilih sebagai calon mewakili DAP di Pakan.

Ia merupakan kali pertama parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang sebelum ini disandang Wiliam yang juga Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

William merupakan anggota Parlimen Saratok dan menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama kira-kira 25 tahun.

Pakan - sebuah pekan kecil seluas kira-kira 153 kilometer persegi - mempunyai seramai 32,300 penduduk yang rata-rata berkebun dan memilik ladang lada.

Saingan sengit

Sementara itu, Pengarah Kempen DAP DUN Pakan, Howard Lee berpendapat, calonnya berdepan dengan pesaing sengit memandangkan William sangat dikenali di kawasan tersebut.

Katanya, walaupun BN mungkin berdepan pecahan undi ekoran kemelut politik dalaman parti di kawasan Pakan, namun DAP tetap perlu bekerja keras sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti William.

Selain itu, ditanya mengenai penerimaan kaum Dayak terhadap DAP memandangkan parti itu bertanding buat kali pertama di Pakan, Howard yang juga Adun Pasir Panji Perak berkata ia sangat positif.

Walaupun diberi amaran bahawa 37 buah rumah panjang di kawasan itu mungkin tidak menerima kehadiran mereka, namun perkara itu tidak terjadi.

Sebaliknya pasukan petugas kempennya disambut baik oleh penghuni rumah panjang, katanya.

"Sebelum ini diberi amaran ada rumah panjang mungkin tak benarkan masuk kerana tegar sokong BN, tapi yang berlaku sebaliknya.

"Bukan sahaja membenarkan masuk tapi ada yang sengaja jemput kami masuk untuk gantung poster dan kain rentang.

"Sokongan sangat menggalakkan dan ia sesuatu yang kita ambil maklum. Menang atau kalah bukan perkara utama," katanya.

Lihat Komen
ADS