Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH anggap cita-cita Zaidi sertai DAP murni
Diterbitkan:  May 2, 2016 7:52 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak melihat penyertaan bekas anggotanya, Mejar (B) Zaidi Ahmad bersama DAP sebagai suatu pengkhianatan kepada Islam.

Sebaliknya, Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir menyifatkan hasrat Zaidi menyertai DAP sebagai 'murni' bagi menangani fitnah terhadap parti sekutunya itu.

"Dari apa yang dijelaskan, penyertaan beliau bersama DAP adalah untuk menangani fitnah yang terus dilemparkan terhadap DAP khususnya oleh Umno dan pihak-pihak tertentu bahawa DAP adalah parti anti-Melayu Islam.

"AMANAH menganggap cita-cita tersebut sebagai cita-cita yang murni, kerana ingin membela pihak yang dizalimi dan difitnah.

Katanya, parti itu menyedari bahawa isu perkauman adalah senjata paling ampuh yang digunakan Umno.

"Maka keinginan Mejar Zaidi untuk mematahkan senjata ini difahami dan dikongsi bersama," katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, dengan pernyataan Zaidi ke dalam DAP, kedudukannya sebagai anggota AMANAH terbatal dengan sendirinya.

Sementara itu, AMANAH turut mengucapkan terima kasih kepada Zaidi atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau terhadap parti itu.

"AMANAH mendoakan semoga beliau terus maju dalam usaha memperjuangkan keadilan dan kebajikan bagi rakyat melalui DAP.

"Keputusan beliau untuk menyertai DAP adalah hak dan pilihan beliau sendiri. Tindakan beliau tidak dilihat sebagai pengkhianatan terhadap Islam dan tidak juga dianggap menyalahi akhlak Islam," kata Annuar.

DAP Pulau Pinang pada Sabtu lalu mengumumkan kemasukan Zaidi ke dalam parti itu

Zaidi, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mula dikenali selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.

Beliau dipecat daripada tentera udara oleh mahkamah tentera pada tahun 2014 dan selepas itu menyertai PAS.

Beliau kemudian menyertai AMANAH tahun lepas selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

Lihat Komen
ADS