Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kalau calon BN menang, senanglah! Telefon saja...'

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menggesa penduduk kampung dan pekerja ladang di Marudi supaya mengundi calon BN dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

Dalam ucapannya semalam, Isa berulang kali menegaskan bahawa adalah penting bagi semua wakil rakyat, kerajaan negeri dan kerajaan pusat, datang dari parti politik yang sama.

Jika tidak, katanya, ia akan menjadi sukar untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah rakyat, kerana pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat, tidak berada di laman yang sama.

"Apapun jadi dalam pilihan raya, Felda tetap ada di sini. Tapi selepas pilihan raya, siapa mewakil tuan-tuan mahu jumpa saya? Mahu jumpa saya punya pegawai? Siapa mahu jumpa?

"Kalau dia bukan daripada BN, siapa mahu jumpa? Bagaimana nak selesaikan masalah? Itu sebab 7 Mei nanti, undi BN.

"Kalau (calon BN di Marudi) Penguang (Manggil) menang, senanglah! Telefon saja, cakap, ‘Tan Sri, kita ada sikit problem’. Kalau lain orang menang, saya pun tak mahu angkat itu telefon," kata Isa, disambut dengan tepukan hadirin.

Felda milik Felda Global Ventures (FGV) memiliki sebuah kilang kelapa sawit di kawasan itu melalui sebuah anak syarikat, serta beberapa ladang kelapa sawit di sekitarnya.

Kilang itu juga menjadi tempat majlis itu diadakan semalam.

Hadirin berjumlah kira-kira 500 orang, kebanyakannya datang dari ladang dan juga kampung sekitarnya, termasuk dari kawasan Dewan Undangan Negeri Telang Usan, dengan memakai baju biru BN.

Di kawasan luar bandar di Marudi, Penguang berdepan dengan calon PKR, Elia Bit dan calon Bebas, Loius Jalong. Ketiga-tiga adalah pendatang baru dalam pilihan raya negeri kali ini.

Isa memberitahu hadirin bahawa sekiranya Penguang menang, terdapat juga perbincangan mengenai bagaimana untuk membantu ramai pekebun kecil kelapa sawit di kawasan itu untuk meningkatkan hasil mereka.

Hasil kelapa sawit itu kemudian boleh dijual kepada Felda, dan kedua-dua pihak akan memperolehi keuntungan.

"Ini jika kita menang pilihan raya ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS