Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rooney Rebit kes pentadbiran, bukan kebenaran murtad

ULASAN Diharapkan kenyataan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membuat keputusan untuk tidak merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang membenarkan Roneey anak Rebit untuk mengeluarkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya menjernihkan segala polemik.

Ini kerana menurut kenyataan KP JPN, mahkamah berpuas hati dengan status Roneey anak Rebit yang tidak pernah mengamalkan ajaran Islam kerana dilahirkan sebagai Kristian dan dibesarkan sebagai Kristian Bidayuh walaupun pada umur lapan tahun kedua ibu bapanya memeluk Islam.

Bahkan Jabatan Agama Islam Sarawak telah mengesahkan fakta sedemikian dan tidak membantah permohonan Roneey untuk mengeluarkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Apa yang jelas dalam kes ini, bukanlah kebenaran untuk murtad sebagaimana tanggapan ramai.

Ia adalah kes pentadbiran kerana Roneey memang sejak dari awal tidak pernah memeluk mahupun mengamalkan Islam.

Orang yang beriman dan Islam yang sah mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mengucapkan kalimah syahadah dengan lidah, beramal dengan rukun-rukunnya dan membenarkan dengan hati.

Jauh beza dari kes Lina Joy

Penyaksian syahadah tidak memadai hanya dengan kata-kata, bahkan mesti beriman dengan maknanya dan beramal dengan segala perintah-Nya (Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah Lil Buhuth Al-‘ilmiyyah wa Al-iffa’, 3/248)

JPN sepatutnya sejak dari awal lagi akur dengan kenyataan “no objection” yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Sarawak sebagai pihak berkuasa agama.

Bahkan Mahkamah Syariah Sarawak sendiri telah mengeluarkan surat menyatakan ia tidak berbidang kuasa ke atas Roneey mungkin berdasarkan kenyataan dari MIS itu.

Membiarkan kes sebegini berpanjangan hingga ke mahkamah hanya mengundang berbagai salah tanggapan terhadap institusi agama.

Bukan sedikit tohmahan yang dilemparkan terhadap institusi Islam ekoran dari isu ini sama ada dari kalangan Islam dan bukan Islam sedangkan mereka tidak mempunyai fakta yang lengkap untuk membuat kesimpulan negatif terhadap institusi agama.

Kes Roneey ini jauh berbeza dari fakta kes Lina Joy yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepuluh tahun lalu.

Pemain politik sempit

Justeru keputusan JPN untuk tidak meneruskan rayuan sebenarnya mengizinkan kedudukan undang-undang mengenai isu menukar agama oleh orang Islam sebagaimana yang diputuskan dalam kes Lina Joy terus kekal mengikat (binding).

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ini sebenarnya tidak pun mengusik keutuhan prinsip undang-undang dalam kes Lina Joy itu dan tentu sekali kes Roneey ini tidak mengikat kes-kes lain di masa akan datang.

Apa yang pasti pendekatan institusi agama Islam sudah begitu terbuka dan langsung tiada unsur penindasan seperti yang cuba ditohmah oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin menangguk di air keruh dalam isu antara agama di negara yang aman damai ini.

Sikap sedemikian tentunya mudah kita fahami terutama sekali menjelang pilihan raya negeri Sarawak ini.

Hubungan antara rakyat berbagai agama akan terus tidak harmoni selagi ada pihak yang cuba mengeksploitasi isu agama untuk kepentingan politik sempit mereka.

Semoga pemain-pemain politik sempit ini ditolak oleh rakyat negara ini.


DATUK PROFESSOR MAHAMAD NASER DISA ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Kajian Straegik Islam Malaysia (IKSIM). Bernaung bawah Majlis Raja-Raja, badan itu berhasrat mewujudkan sebuah institut pemikiran yang bebas bagi memelihara kedaulatan raja-raja Melayu serta kedaulatan Islam.

Lihat Komen
ADS