Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perbicaraan kes bunuh N Dharmendran semasa dalam tahanan oleh empat polis yang sedang berjalan tidak wajar dijadikan alasan untuk mengelak daripada tindakan lanjut ke atas mereka lain yang turut didakwa terlibat.

Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar minggu lalu mengatakan perbicaraan kes itu yang sedang berjalan menjadikannya subjudis untuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membincangkan secara luar mahkamah.

“Respons Khalid itu terhadap laporan EAIC itu sangat mengecewakan.

“Kami menyedari terdapat peruntukan di bawah Akta EAIC untuk suruhanjaya meneruskan siasatannya, tidak kira sama ada perbicaraan kes itu sedang berjalan di mahkamah,” kata Thiru semasa ucapan pembukaan dalam forum Majlis Peguam untuk mempromosi kebertanggung jawaban lebih besar kepada pihak polis.

EAIC dalam laporannya dikeluarkan pada 28 April 2016 telah mencadangkan Peguam Negara untuk mempertimbangkan mengenakan dakwaan ke atas kakitangan polis yang didapati mereka-reka maklumat palsu dalam diari lokap Dharmendran.

Sebelum ini, Khalid dipetik sebagai berkata, pihak jawatankuasa aduan harus maklum bahawa apa-apa prosiding yang belum selesai di mana-mana mahkamah, termasuk apa-apa prosiding rayuan, hendaklah dilaporkan kepada suruhanjaya mengenai aduan tersebut dan dapatannya.

"Ini termasuk alasan bagi dapatannya dan membuat syor supaya suruhanjaya menolak aduan itu (seksyen 26 (4)(f) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009)," kata Khalid dalam kenyataan media.

Kenyataan Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam telah melahirkan tanggapan bahawa pihak polis gagal mengambil tindakan terhadap empat anggota polis yang terlibat, jelas Khalid lagi.

Pihak polis tidak pernah melindungi mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam sebarang pelakuan jenayah, tegas Khalid.

Lihat Komen
ADS