Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengguna untung jika harga minyak diapung secara bebas
Diterbitkan:  May 4, 2016 1:14 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan mekanisme pengapungan bebas bagi menggantikan pengapungan terkawal dalam menentukan harga runcit minyak.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata pelaksanaan apungan bebas mungkin memberikan impak positif dari segi persaingan antara pengusaha minyak yang akhirnya akan menguntungkan pengguna.

Bagaimanapun kajian secara menyeluruh, termasuk kesan terhadap pengguna dan pengusaha, perlu dijalankan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, katanya.

"Kerajaan memang sedang mengkaji apungan terkawal secara bulanan sekarang ini digantikan kepada kaedah apungan bebas. Tetapi belum ditentukan sama ada harga minyak akan ditentukan setiap hari, seminggu sekali atau dua minggu sekali," katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang meminta kepastian sama ada kerajaan mahu melaksanakan kaedah apungan bebas seperti di sesetengah negara maju dalam penentuan harga minyak negara ekoran ketidakstabilan harga minyak mentah dunia pada masa ini.

Sementara itu, beliau berkata menerusi mekanisme pengapungan terkawal yang dilaksanakan sekarang, harga minyak di negara ini masih antara yang terendah berbanding negara jiran lain, selain kerajaan tidak mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas bahan api itu.

Menjawab soalan asal mengenai mekanisme mengekalkan harga minyak yang rendah, terutama RON95, untuk jangka masa tertentu, katanya, kerajaan buat masa ini akan meneruskan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal yang dilaksanakan sejak 1 Dis 2014.

"Melalui mekanisme ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditentukan berdasarkan purata harga pasaran sebenar bahan tersebut bagi bulan sebelumnya.

Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia menurun, harga runcit petrol RON95 dan diesel di stesen minyak juga akan menjadi lebih rendah, begitulah sebaliknya," katanya.

Pada Mei ini, harga runcit petrol RON95 kekal pada RM1.70 seliter dan RON97 pada RM2.05 seliter manakala diesel dijual pada RM1.55 seliter seperti bulan lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS