Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Royalti minyak Sarawak tak sesuai naik sekarang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejatuhan harga minyak dunia menjadikan pemberian royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan pusat telah membuktikan komitmen kepada Sarawak dengan memberikan Lebuh Raya Pan Boneo serta meluluskan RM3.5 bilion bagi pembangunan sepanjang lawatannya ke negeri itu.

“Royalti tidak sesuai untuk diberikan pertimbangkan sebab keadaan hasil negara begitu kritikal dan kehilangan RM40 bilion sebab kejatuhan minyak.

“Namun kita akan cuba untuk menampung keperluan pembangunan Sarawak dan dapatkan peruntukkan di luar bajet banyak diluluskan untuk Sarawak.

“Berdasarkan lawatan saya, RM3.5 bilion telah diluluskan dan banyak juta akan diberikan kepada Sarawak, dan Lebuh Raya Pan Borneo contoh yang amat baik menunjukkan komitmen untuk Sarawak sangat tinggi dan akan diteruskan,” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa di Kuching.

Sebelum itu Najib mempengerusikan mesyuarat kabinet yang diadakan di ibu negeri Sarawak itu hari ini.

Najib pantau janji calon

Buat masa ini, Sarawak menerima lima peratus royalti daripada hasil minyak negeri itu daripada pusat.

Sebelum ini 40 calon PKR dalam pilihan raya negeri ke-11 hari ini sepakat membuat lima tuntutan kepada Najib.

Antaranya mereka menuntut Sarawak diberikan hak 20 peratus royalti minyak.

Parti Amanah Negara (AMANAH) pula dalam satu daripada tujuh tuntutannya menyokong sekiranya kerajaan memberi 20 peratus royalti minyak kepada rakyat Sarawak.

Sementara itu Najib menggesa supaya semua calon-calon BN untuk mengotakan janji mereka yang diikrarkan jika menang nanti.

Kata Najib, kerajaan akan memantau janji-janji calon BN dan berharap ia akan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Saya ingatkan semua kerusi bahawa janji-janji mereka luahkan di negeri Sarawak hendaklah dikotakan dengan perbuatan.

“Kerajaan akan pantau semua janji-janji semua yang dibuat, mudah-mudahan kesemua dapat disempurnakan mengikut jadual yang ditentukan,” katanya.

Lihat Komen
ADS