Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Apa salah Dr M hingga khidmat pengiring dihentikan?
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:46 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Ahli Parlimen PKR mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menamatkan khidmat pengiring bermotosikal yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik kenyataan Khalid bahawa keputusan itu dibuat kerana polis tidak boleh terbabit dengan majlis bercanggah dengan undang-undang serta perlembagaan yang dihadiri oleh bekas perdana menteri itu, N Surendran berkata, faktor sedemikian ada tidak relevan.

"Khidmat pengiring bermotosikal itu diberikan atas status Mahathir sebagai bekas perdana menteri dan keselamatan beliau. Ia tidak boleh ditamatkan semata-mata kerana Mahathir menghadiri acara-acara anti kerajaan.

"Bukan hal Khalid sama ada Mahathir hadir acara-acara anti-Najib atau anti-BN atau anti-kerajaan. Ia hak demokratik Mahathir atau mana-mana warganegara Malaysia untuk hadir acara sebegitu," tambahnya dalam kenyataan media.

Antara lain, Khalid memetik kehadiran Mahathir semasa acara berkaitan Deklarasi Rakyat yang menyasarkan pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan perhimpunan BERSIH.

Hari ini, Khalid mengesahkan beliau memberi arahan itu kerana Mahathir menggunakan khidmat pengiring untuk menghadiri perhimpunan haram seperti himpunan BERSIH, himpunan anti-GST dan mengumpul tandatangan bagi Deklarasi Rakyat.

Khalid, bagaimanapun, berkata keputusan itu bukan muktamad sambil menambah ia akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

Ketua polis itu juga memberi amaran rakyat yang bukan anggota keselamatan tetapi memberikan perkhidmatan mengiring kepada Mahathir boleh berdepan dengan pendakwaan.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pengiring polis untuk Mahathir sepatutnya ditamatkan lebih awal.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata Mahathir menggunakan pengiring polis untuk mengiringinya ke majlis-majlis yang menentang kerajaan.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, keputusan Khalid itu tidak berasas atau berlandaskan faktor-faktor tidak relevan yang boleh membawa kepada pelaksanaan kuasa tidak mengikut undang-undang dan boleh diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

"Dakwaan Khalid bahawa Mahathir hadir pada acara-acara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dibuat tanpa asas langsung.

"Peruntukan yang mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang bercanggah dengan acara-acara itu?" soalnya.

Ahli Parlimen Padang Serai itu mempersoalkan bahawa tuntutan secara aman untuk perdana menteri semasa berundur atau pembubaran kejaraan semasa adalah mengikut undang-undang dan mengikut perlembagaan.

"Khalid harus sedar beliau memegang kuasa atas kepercayaan dan kepentingan manfaat rakyat. Semua tindakannya harus untuk kepentingan negara secara keseluruhan.

"Beliau harus secara cermat bersikap neutral dalam pertikaian politik yang berterusan. Beliau tidak boleh memperlihatkan sebarang pendapat dalam Deklarasi Rakyat atau perkara berkaitan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS