Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC tolak cadangan tangguh gaji minimum
Diterbitkan:  May 4, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas permintaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum.

Setiausaha agung kesatuan itu, Gopal Kishna berkata walaupun MTUC kecewa atas kadar gaji minimum baru yang sepatutnya RM1,200 sebulan tetapi ditetapkan pada kadar antara RM920 hingga RM1,000 sebulan, pihaknya yakin skim tersebut tidak akan membebankan majikan.

"Kami yakin ia tidak akan membebankan majikan kerana kenaikan tersebut tidak terlalu besar.

"Justeru, untuk mengatakan pelaksanaan skim gaji baru itu akan menyebabkan pembuangan atau pemberhentian pekerja, itu alasan yang tidak munasabah," kata beliau dalam kenyataan.

Ini kerana, ujarnya, berdasarkan kajian dan pemerhatian MTUC ketika skim gaji minimum diperkenalkan pada tahun 2013, tiada majikan yang terpaksa menutup perniagaan mereka atau berlaku lonjakan besar dalam kos pengeluaran.

"Jika situasi seperti itu tidak terjadi tiga tahun yang lalu, kenapa majikan mahu memberikan alasan tidak munasabah seperti itu sekarang," tambahnya.

Semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim jadual gaji minimum kerana 30,000 pekerja berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini jika ianya dilaksanakan.

"Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa ekoran cabaran ekonomi semasa.

"Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka akan melakukan "retrenchment" sebelum Julai kerana jika mereka melakukan selepas Julai, sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya," katanya.

Shamsuddin berkata pekerja yang berisiko diberhentikan kerja ialah dari pelbagai sektor terutama sektor minyak dan gas, perbankan dan kewangan, insurans serta peruncitan.

Mengulas lanjut, Gopal menambah, oleh itu, MTUC yakin boleh membawa kelebihan dan impak positif kepada pihak pekerja dan negara secara amnya.

"Kami percaya manfaat yang sama akan turut dirasai oleh majikan dan meminta kerajaan bertegas untuk melaksanakan skim gaji minimum itu seperti yang dirancangkan," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS