Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Deepak dibenar fail rayuan terhadap keputusan mahkamah rayuan
Diterbitkan:  May 4, 2016 9:11 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya membenarkan ahli perniagaan Deepak Jaikishan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan saman yang difailkan terhadapnya oleh balu mendiang penyiasat persendirian (PI) P Balasubramaniam.

Panel tiga orang hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dengan sebulat suara memberi kebenaran kepada Deepak untuk merayu terhadap tiga persoalan undang-undang yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dua orang lagi hakim dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Azahar Mohamed.

Hakim Zulkefli juga memerintahkan tarikh awal ditetapkan untuk perbicaraan mendengar rayuan ahli perniagaan tersebut dan juga memerintahkan peguam Deepak mengemukakan dokumen mahkamah secepat mungkin.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Deepak kemudian berkata beliau akan memfailkan dokumen itu menjelang minggu depan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee bagi penangguhan perbicaraan mendengar saman tersebut di Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan rayuan Deepak di Mahkamah Persekutuan.

Ketiga-tiga persoalan undang-undang itu ialah:

# Sama ada, sebagai undang-undang prosedur, bantahan berkaitan notis rayuan bersifat defektif dan/atau lapuk daripada segi undang-undang boleh dikemukakan melalui bantahan awal semata-mata;

# Sama ada, memfailkan notis rayuan secara satu pihak berhubung dengan lapan permohonan interlokutori yang berbeza adalah mematuhi kaedah prosedur seperti dinyatakan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1995; dan,

# Sama ada sebagai satu undang-undang, dakwaan berkonspirasi untuk menyebabkan injuri dapat dikekalkan dan/atau adalah sah apabila tuntutan terhadap semua konspirator bersama yang lain telah ditolak dan/atau dibatalkan antara lain atas dasar tiada sebab munasabah yang dibangkitkan oleh Santamil Selvi.

Sementara itu, permohonan A Santamil Selvi bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan lain yang mengetepikan perintah persetujuan untuk mengembalikan saman sivilnya terhadap Deepak k Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan, telah ditangguhkan hingga ke satu tarikh lain.

Perintah persetujuan itu adalah berkaitan persetujuan oleh Deepak untuk mengembalikan saman sivil itu ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Zulkefli membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam mewakili Santamil Selvi, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi penangguhan permohonan anak guamnya bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan Deepak.

Pada 18 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada Santamil Selvi untuk mengembalikan saman sivilnya terhadap Deepak dan meneruskan tindakan saman atas kapasiti peribadinya, dan bukan bagi pihak mendiang suaminya.

Deepak ialah seorang daripada sembilan defendan yang disaman oleh Santamil Selvi dan anak-anaknya berhubung dakwaan kerugian yang dialami sepanjang berada di luar negara selama 56 bulan dari 4 Julai 2008 hingga 15 Mac 2013, apabila Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung sekembalinya dari India.

Lapan defendan lain ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, dua orang adik (Najib) iaitu Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan peguam M Arunampalam.

Pada 24 April tahun lepas, Santamil Selvi dan anaknya gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan saman sivil difailkan ke atas lapan daripada mereka yang ditolak oleh Makamah Tinggi.

Dalam kenyataan tuntutan, beliau berkata suaminya dipaksa menarik balik akuan bersumpah pertama yang dibuat pada 1 Julai, 2008, berhubung fakta-fakta tertentu dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Santamil Selvi dan anak-anaknya menuntut ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk bayaran sewa pangsapuri di Chennai, India, yuran persekolahan anak-anaknya dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

- Bernama

Lihat Komen
ADS