Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin masyarakat Cina di bandar akan kembali menyokong BN pada pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei ini.

Menurut Zahid, masyarakat Cina bandar telah berubah sikap dengan menuruti kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

"Saya tersentuh dengan pengundi Cina di kawasan bandar. Ia sangat berbeza berbanding pilihan raya negeri yang lalu," jelas beliau.

"Kami perlukan wakil bagi masyarakat Cina dan saya mahukan ahli dewan undangan negeri (DUN) Cina yang boleh diangkat menjadi timbalan menteri dan menteri," Zahid memberitahu kumpulan media KTS dalam wawancara.

Naib Presiden Umno itu menambah, beliau juga tidak akan teragak-agak untuk berbisik kepada Adenan untuk melantik wakil Cina sebagai timbalan ketua menteri.

Kumpulan media KTS memiliki beberapa penerbitan akhbar di Sarawak antaranya Borneo Post, Utusan Borneo dan dua akhbar berbahasa Cina, See Hua Daily dan The Oriental Daily.

Semasa kunjungan beliau ke kumpulan media Sin Chew, yang memiliki Sin Chew Daily dan Guang Ming Daily, Zahid terus menyentuh mengenai sokongan masyarakat Cina.

"Mereka mahu lihat bukan sahaja pembangkang boleh membangkitkan isu, malah calon BN juga akan melakukan perkara yang sama.

"Jangan salahkan Adenan jika keadaan berlaku sebaliknya kerana beliau telah memberi peluang kepada semua etnik kaum di Sarawak.

"Rebutlah peluang ini. Saya berharap masyarakat Cina akan beri Adenan lima tahun. Berilah dia peluang untuk berjuang bagi masyarakat Cina," tambahnya.

Dalam wawancara dengan kumpulan media Star pula, gelombang sudah mula bergerak ke sebelah kerajaan kerana pengundi Cina telah mula melihat BN secara positif.

Adenan memberitahu pengundi Cina di Kuching untuk menyokong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) jika mereka mahukan timbalan ketua menteri dari kaum itu.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak harus menerima cabaran debat oleh pembangkang.

"Tidak, jadual beliau sangat padat. Tidak adil untuk perdana menteri menari mengikut rentak mereka. Lebih adil jika buat selepas 7 Mei," ujarnya.

Lihat Komen
ADS