Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRS yakin 11 calonnya menang dengan majoriti selesa
Diterbitkan:  May 5, 2016 3:12 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Parti Rakyat Sarawak (PRS) yakin dapat mencapai kemenangan dengan 'majoriti sangat selesa' pada kesemua 11 kerusi yang ditandingi oleh parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak, kata presidennya, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

"Semasa mengesahkan senarai calon PRS oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, saya memberitahu beliau saya akan kembalikan 11 kerusi kepadanya.

"Saya turut membuat janji yang sama kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) semasa pilihan raya umum 2013 apabila beliau memperuntukkan enam kerusi kepada kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Masing berkata beliau selesa bertanding dalam pilihan raya negeri dengan Adenan menjadi faktor 'feel good' (faktor yakin) bagi BN.

"Ini akan menjadi kemenangan besar bagi BN dan ia adalah terutama kerana Adenan," katanya yang akan mempertahankan kerusi Baleh sejak 1983 dalampilihan raya negeri, Sabtu, ini.

Menurutnya kempen kesemua calon PRS termasuk empat muka baru berjalan dengan baik dan lancar.

PRS bertanding kerusi Balai Ringin, Bukit Begunan, Batang Ai, Ngemah, Tamin, Kakus, Pelagus, Baleh, Belaga serta dua kerusi baharu, Murum dan Samalaju.

Dr Masing juga berkata PRS membuka pintu kepada calon langsung BN untuk menyertai parti itu jika mereka menang dalam pilihan raya kali ini.

"Malah, mereka ini boleh memilih mana-mana parti komponen BN... bagi saya, pintu kami terbuka kepada mereka," katanya.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negeri Sarawak, BN mengetengahkan 13 calon langsung dalam pertandingan di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada hari penamaan calon, 25 April lepas, BN menang dua kerusi tanpa bertanding iaitu kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota.

- Bernama

Lihat Komen
ADS