Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kartunis Zoy meninggal dunia akibat komplikasi usus
Diterbitkan:  May 5, 2016 3:43 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Kartunis Zoy atau Mohd Zohri Sukimi, 57, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat Shah Alam, kira-kira jam 4 pagi tadi akibat komplikasi usus.

Beliau yang dikenali menerusi karya 'Takluk Jagat', 'Pendekar Sijangkang', dan 'Keris Gajah Sewu' juga merupakan bekas Ketua Unit Grafik Berita Harian yang bersara pada Disember 2014.

Menurut anak sulung Allahyarham, Mohd Iqbal Razi Mohd Zohri, 33, bapanya mula berkecimpung dalam dunia kartunis sejak di bangku sekolah dan karya-karyanya pernah diterbitkan di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Selain itu katanya, Allahyarham bapanya juga pernah menjadi kartunis tetamu untuk komik terkenal, 'APO?' selain karyanya yang masih diterbitkan di akhbar Berita Harian setiap hujung minggu.

"Walaupun arwah ayah telah bersara dua tahun lepas, beliau masih aktif menghantar karyanya kepada surat khabar itu dan masih diterbitkan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Kartunis Malaysia, Buhairi Ramli pula menyifatkan kehilangan Mohd Zohri pastinya memberi impak besar dalam industri kartunis negara memandangkan Allahyarham merupakan pelopor kartun berciri pendekar.

"Dunia kartunis negara amat merasai kehilangan arwah Zoy kerana selama ini, beliau adalah rujukan kepada kami untuk menghasilkan karya berkaitan silat.

"Ini kerana beliau sendiri ada latar belakang dalam bidang persilatan dan pemergian arwah pastinya akan menyebabkan kami serta peminat merindui kartun-kartun silatnya," katanya.

Allahyarham Mohd Zohri meninggalkan seorang isteri, empat orang anak serta tiga cucu dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Sijangkang, Banting, dekat sini kira-kira 11.30 pagi tadi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS