Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi Awang anti bukan Islam, dakwa DAP
Diterbitkan:  May 5, 2016 4:40 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Pertikaian terbuka DAP dan PAS berterusan dengan kedua-dua sekutu bertukar menjadi seteru itu bertelagah di Sarawak berhubung bangsa dan agama ketua menteri Sarawak.

Rakyat Sarawak akan membuang undi pada 7 Mei yang PAS berharap akan melahirkan kerusi sulung mereka. Parti Islam itu bertanding di 11 kerusi.

Tetapi kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuching malam semalam bahawa partinya 'tidak menghalalkan' orang lain dan tidak setuju DAP memerintah Sarawak dan hanya mahu pemerintah di kalangan orang Islam bumiputera tidak diterima baik.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Hadi itu sebagai "retorik politik yang keterlaluan dan melampau".

Beliau berkata kenyataan seperti itu jelas menunjukkan bahawa Hadi adalah anti-bukan Islam.

Lim berkata sentimen itu adalah "menjelikkan” terhadap golongan bumiputera bukan Islam, yang majoriti mereka adalah penduduk di Sarawak.

"Mengapa bumiputera bukan Islam hilang kelayakan untuk jawatan ketua menteri Sarawak semata-mata kerana mereka bukan beragama Islam?" soalnya.

"Jelas, bumiputera bukan Islam lebih terbuka dan mempunyai semangat Malaysia daripada Hadi apabila mereka boleh menerima bumiputera Islam seperti Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri," kata Lim.

Lim juga menafikan pernah meminta bahawa ketua menteri Sarawak mesti terdiri daripada masyarakat Cina.

Beliau hairan mengapa Hadi perlu menjadikan isu ketua menteri Sarawak Cina untuk menakutkan pengundi.

"Bagaimanapun, tidak ada sebab mengapa bumiputera, sama ada Islam atau bukan Islam, tidak boleh jadi ketua menteri Sarawak," katanya.

"DAP menerima realiti bahawa perdana menteri Malaysia mestilah berbangsa Melayu untuk mencerminkan hakikat bahawa majoriti penduduk adalah orang Melayu.

"Mengapa tidak boleh menerima bahawa bumiputera bukan Islam juga boleh menjadi ketua menteri Sarawak, sedangkan mereka (bumiputera bukan Islam) membentuk majoriti penduduk?"

Hadi pada ucapannya juga berkata “bangsa Cina dan India boleh menjadi rakyat namun ia perlu dipimpin oleh pemimpin beragama Islam.”

Mengambil kira hujah itu, Lim berkata ini bermakna bahawa walaupun di Pulau Pinang, majoriti penduduk adalah bukan Melayu, bukan Melayu tidak boleh menjadi ketua menteri.

Beliau berkata, kenyataan Hadi bercanggah kedudukannya sebelum ini pada 2008 dan 2013 apabila beliau menyokong seorang Cina sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Sepanjang pilihan raya umum berkenaan, PAS adalah sekutu DAP di bawah Pakatan Rakyat yang kini sudah terkubur.

DAP kemudiannya membentuk pakatan pembangkang - Pakatan Harapan - dengan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), sebuah parti serpihan PAS.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS