Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yakin parti itu mampu memperoleh kembali sokongan kaum Cina yang sebelum ini memberikan undi kepada pembangkang.

Namun, Adenan mengakui tidak mengetahui sejauh mana sokongan tersebut boleh memenangkan BN sekali gus merampas kerusi dikuasai DAP selepas pilihan raya Sabtu ini.

"Sudah tentu ada sebilangan yang kembali menyokong BN. Namun, saya sendiri tidak pasti adakah ianya (sokongan pengundi Cina) cukup untuk menang di kerusi majoriti Cina," kata Adenan di sidang media di Wisma Bapa, Kuching.

Sesetengah kerusi itu, kata Adenan, dimenangi DAP dengan majoriti kecil.

Adenan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau yakin BN akan dapat mengembalikan sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya negeri kali ini.

Pilihan raya itu akan dilangsungkan Sabtu ini.

Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu majoriti pengundi Cina - terutama di bandar besar atau ibu negeri - memberikan sokongan kepada gabungan pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun pakatan itu berkubur tidak lama selepas PRU ke-13.

Untuk makluman, ketika PRU ke-13 persaingan undi di Sarawak hanya membabitkan kerusi parlimen.

Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya kerusi mana yang dimaksudkannya itu.

"Your guess is as good as mine (Andaian anda lebih kurang seperti andaian saya)," katanya.

Beliau turut mengulangi kenyataan mengenai kepentingan kaum Cina mempunyai wakil di peringkat kerajaan negeri.

"Kita mahukan wakil dari setiap komuniti serta kaum di sini," tambah Adenan.

Lihat Komen
ADS