Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengulangi pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sekarang bukan masa sesuai membincangkan isu kenaikan royalti minyak untuk negeri itu.

Ia kerana, kata Adenan, dunia sedang menghadapi masalah kejatuhan harga minyak.

Adenan turut berkata, veteran DAP Lim Kit Siang telah memetik kenyataannya berhubung royalti minyak secara salah.

"Kit Siang misquote (salah petik) mengenai isu royalti minyak. Saya ada duduk di sebelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan itu semalam.

"Beliau (Najib) berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai royalti minyak kerana harga minyak telah runtuh.

"Tetapi, jika harga telah stabil nanti kita boleh mula berunding dan kita tak harap Kit Siang sebut perkara itu,” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa, Kuching.

Semalam Lim berkata, DAP kini meragui sama ada pasukan Adenan atau pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Antara punca keraguan itu ialah Najib mengadakan mesyuarat kabinet di Sarawak kononnya bagi menyokong kepimpinan Adenan tetapi menolak permintaan BN Sarawak untuk mendapatkan kenaikan royalti minyak kepada 20 peratus.

Terdahulu Najib berkata kejatuhan harga minyak dunia menjadikan pemberian royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang.

Sebaliknya, presiden Umno itu berkata, kerajaan pusat telah membuktikan komitmen kepada Sarawak dengan memberikan Lebuh Raya Pan Boneo serta meluluskan RM3.5 bilion bagi pembangunan sepanjang lawatannya ke negeri itu.

Lihat Komen
ADS