Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantuan RM5.5 juta untuk gereja di Ba'Kelalan
Diterbitkan:  May 6, 2016 5:46 AM
Dikemaskini: 10:03 PM

Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta bagi membantu 110 buah gereja luar bandar di Ba'Kelalan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata peruntukan tersebut adalah untuk keperluan fizikal gereja-gereja kebanyakan di bawah mazhab Sidang Injil Borneo (SIB).

"Pemberian ini akan diagihkan berdasarkan permintaan yang dikemukakan oleh gereja-gereja, ada yang memerlukan untuk pembaikan dan juga yang baru dibina," katanya ketika merasmikan program jelajah Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) di Rumah Kebudayaan Kampung Long Tuan, Trusan, di Lawas semalam.

Ongkili, yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata gereja-gereja di sini tidak dapat dibantu oleh wakil rakyat pembangkang, merujuk kepada Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang akan mempertahankan kerusi Ba'Kelalan dalam pilihan raya negeri Sarawak esok.

Beliau berkata peruntukan itu menunjukkan kerajaan pusat menyokong pembangunan agama dan rohani rakyat.

"Ia juga adalah baik untuk pembinaan negara. Hanya pihak prihatin seperti Barisan Nasional (BN) boleh membantu keperluan infrastruktur rakyat termasuk kemudahan rumah ibadah di Sabah dan Sarawak," katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph pairin Kitingan, yang juga presiden PBS.

Pairin, yang menyertai kempen bagi calon BN Ba'Kelalan, Willie Liau, meminta pengundi supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi bagi merampas semula kerusi itu daripada pembangkang.

"Tempoh lima lepas adalah pahit bagi akyat di sini kerana kekurangan pembangunan. Saya percaya pengundi di sini adalah bijak dan membuat keputusan tepat pada hari mengundi.

"Hanya BN boleh memenuhi keperluan rakyat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS