Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim jumpa SPRM, 'mamu' Pulau Pinang tunjuk perasaan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memasuki pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan pulau mutiara itu yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah pada jam 9.35 pagi hari ini.

Bersama beliau ialah peguam yang juga wakil rakyat, Gobind Singh (Puchong), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) and RSN Rayer (Seri Delima).

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, tidak mahu memberi sebarang ulasan walaupun sekumpulan wartawan dan jurugambar berkumpul di luar bangunan seawal jam 7.30 pagi.

Sebaik sahaja Lim tiba dengan kenderaan rasminya, Mercedes Benz dengan nombor plat PG1 memasuki bangunan SPRM, penunjuk perasaan berseorangan bernama Muhsim Latheef membawa poster bertulis "Sila Kunci Tingkap Untuk Keselamatan CM Saya!".

"CM hanya satu, sayangi CM kita," katanya.

Muhsim, yang mengendalikan laman "Di mana ada parpu, di situ ada mamu" menambah bahawa beliau berada di situ hari ini tidak mewakili mana-mana kumpulan.

Beliau selalu dilihat bersama-sama penunjuk perasaan anti-Guan Eng sebelum ini.

Kenyataan beliau itu dilihat adalah berdasarkan kes yang menimpa bekas pembantu DAP, Teoh Beng Hock pada tahun 2009 yang ditemui mati di tingkat bawah bangunan SPRM cawangan Shah Alam selepas mendiang di soal siasat di tingkat 4.

Lim akan disoal siasat oleh SPRM berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta, yang mana dikatakan di bawah harga pasaran.

Isteri Lim, Betty Chew juga akan disoal siasat oleh SPRM hari ini.

Beliau diwakili oleh Ramkarpal, sementara Rayer mewakili Lim.

Ketika dijumpa di luar bangunan SPRM, Gobind memberitahu Lim mungkin disoal selama dua hari.

Ditanya apakah Lim akan didakwa, beliau menjawab: "Ia masih diperingkat siasatan. Sama ada beliau akan didakwa atau tidak, saya tidak tahu."

Menurut Gobind, pemilik banglo sebelum ini, Phang Li Koon sedang di soal siasat oleh SPRM di Putrajaya.

Lihat Komen
ADS