Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Ramai pemimpin oposisi dihalang masuk Sarawak. Keadaan ini terjadi selepas 53 tahun kita membentuk Malaysia. Sudah tentu ada kesan psikologi yang tidak baik dan mesej yang salah dihantar kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Paling ketara apabila integrasi sebuah negara bernama Malaysia semakin renggang. Bukannya semakin rapat. Sedangkan, oposisi juga selama ini berjuang untuk hak-hak sama rata dengan rakyat Malaysia Timur termasuk Sabah dan Sarawak.

Contoh mudah ialah harga barangan yang berbeza di kedua wilayah itu. Kita tidak pernah mendengar ada pemimpin BN termasuk dari Sarawak sendiri yang serius memperjuangkan hal yang sekecil itu pun. Adalah sesuatu yang aneh untuk barang seperti susu bayi dijual dengan harga lebih tinggi di Sarawak berbanding di Semenanjung.

Saya yakin, orang Semenanjung rela membayar lebih bagi membolehkan barangan keperluan asas dapat dijual dengan harga yang sama di Sabah dan Sarawak—ketimbang terpaksa membayar GST! Kerelaan ini samalah di mana ada kakitangan awam dari Semenanjung sanggup berkorban masuk dan bertugas di pedalaman Sarawak dengan semangat patriotik yang sama.

Seorang guru sekolah dari Johor Bahru, misalnya, tak janggal untuk berkhidmat di pedalaman sejauh mana pun di Sabah dan Sarawak kerana baginya, kedua negeri itu sama sahaja dengan Kedah, Kelantan, Selangor atau mana-mana negeri pun di Malaysia. Sikap menunjuk kuasa oleh Adenan Satem adalah sama sekali sikap orang yang takut kepada bayang-bayang sendiri.

Bagaimana beliau dengan begitu mudah memanipulasi sentimen kenegerian untuk menutup kesilapan dan kecuaian pemerintahan BN Sarawak itu sendiri? Kita tahu, penderitaan hidup orang Sarawak bukan disebabkan oleh pemimpin oposisi atau orang semenanjung, tetapi disebabkan oleh kecuaian Petrajaya yang sekian lama bersekongkol dengan Putrajaya.

Bahkan di Semenanjung, kita bersusah payah untuk mewujudkan kedamaian, termasuk di kalangan penganut Kristian Sarawak yang berada di Lembah Klang. Begitulah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang memulangkan Alkitab dengan cara terhormat kepada paderi dan ketua menteri Sarawak pada akhir 2015 kerana menyedari hak penganut Kristian untuk mengamalkan ajaran mereka di mana pun selagi mematuhi undang-undang negeri di mana mereka berada.

Tanpa 1MDB, tak perlu GST

Budi baik pemimpin Pakatan Rakyat sesungguhnya membuatkan rakyat Sarawak yang terfikir. Saya yakin, rata-rata orang Sarawak bukan buta hati untuk mampu menilai semua hal ini. Ia termasuklah perjuangan pemimpin oposisi memperjuangkan Hari Malaysia, iaitu sebuah hari di mana kita memperingati terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Hanya beberapa tahun lalu, Putrajaya menyedari untuk memberikan cuti umum demi menyambut Hari Malaysia. Sebelum itu, perdana menteri Najib Razak yang menjadi rakan politik Adenan pun tidak pernah peduli untuk menghormati Hari Malaysia lebih daripada memperingati kemerdekaan Tanah Melayu. Rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak akhirnya dapat merayakan Hari Malaysia atas perjuangan parti-parti oposisi yang cukup patriotik dan bersifat nasionalis. Perjuangan itu bukan datangnya daripada Petrajaya, mahupun Putrajaya.

Adenan juga tidak boleh lupa, Lebuh Raya Pan Borneo yang akan menghubungkan hujung ke hujung Sarawak-Sabah juga bukan daripada idea dan perjuangan Putrajaya. Jauh sekali oleh PM Najib.

Beberapa tahun sahaja lagi, rakyat kedua negeri Malaysia Timur itu akan menikmati sebuah lebuh raya tanpa tol. Apakah Adenan lupa siapa yang selama ini berjuang untuk sebuah lebuh raya tanpa tol? Mungkin Adenan boleh membohongi dirinya sendiri, atau memutar belit fakta untuk tujuan menipu rakyat Sarawak, tetapi tidak selamanya tipu helah sebegitu akan dapat ditelan oleh orang Sarawak.

Sekiranya rakyat Sarawak hari ini hidup dalam keadaan tertekan akibat GST, apakah dapat dinafikan bahawa kesemua anggota parlimen dari Sarawak jualah yang menyokong meluluskan dasar cukai yang kejam itu di parlimen. Sementara tidak seorang pun wakil rakyat Pakatan yang merelakannya apabila mereka sedar, GST dilaksanakan hanya kerana mahu menutup kebocoran puluhan bilion dalam skandal besar 1MDB. Tanpa 1MDB, tidak perlu GST!

Meskipun sudah lebih setahun GST dilaksanakan, sehingga mencerut kehidupan warga Sarawak, namun hutang 1MDB masih kekal besar dan belum berjaya dilunaskan. Harga minyak di merudum di pasaran dunia hanya alasan di permukaan untuk menutup kepincangan sebenar apa yang berlaku di dalam kerajaan. Alasan sama diguna PM Najib untuk menidakkan royalti minyak 20 peratus termasuk untuk Sarawak.

Sarawak sebuah negeri yang kaya. Anehnya, sejak lebih setengah abad ditadbir oleh sebuah kerajaan yang sama, Sarawak berubah menjadi antara negeri termiskin di Malaysia. Apakah semua itu salah parti oposisi dan orang semenanjung? Tidak!

Retak Sarawak, semenanjung

Kemiskinan yang melanda rakyat Sarawak hari ini bukan disebabkan parti oposisi. Sama sekali bukan disebabkan orang semenanjung. Apatah lagi, menjadi Melayu semenanjung sekalipun tetap seolah-olah menjadi rakyat kelas kedua sekiranya kami di Sarawak.

Malah kedudukan Melayu semenanjung adalah jelas di bawah kaum Cina yang berasal dari Sarawak sendiri apabila banyak perniagaan yang melibatkan tender kerajaan tidak boleh dipohon oleh syarikat Melayu-Bumiputera Semenanjung.

Inilah hakikatnya. Inilah kenyataan dan fakta yang tidak boleh dinafikan oleh BN Sarawak, termasuklah Adenan yang semakin galak menggambarkan bahawa pemimpin dan orang semenanjung sebagai ‘musuh’ kepada orang Sarawak. Sikap mahu menjadi hero negeri sedemikian akan memakan dirinya sendiri. Jauh lebih bahaya daripada itu adalah akan meretakkan hubungan integrasi antara wilayah di Malaysia.

Ramai penganalisis meramalkan BN akan menang. Adenan akan kekal sebagai ketua menteri untuk penggal kedua. Namun, kemenangan BN dengan Adenan menyambung tugasnya sebagai ketua menteri nampaknya bukan jalan untuk memulihkan kesan yang retak antara Sarawak dan semenanjung. Sebuah iktibar antara rakyat kedua wilayah ini perlu diambil bagi memulihkan retak yang disebabkan oleh dua kuasa yang tak bertanggungjawab itu iaitu Petrajaya dan Putrajaya.

Tentulah orang di semenanjung juga sedang menyaksikan semua sandiwara dan permainan politik jelek sebegini, namun dalam waktu sama saya yakin orang-orang Semenanjung juga tidak akan berdiam diri. Mereka tidak akan merelakan sebuah Malaysia menjadi gagal hanya kerana mahu mempertahankan kuasa dua kubu politik yang jelas nyata cuai di dalam memperkukuh sebuah kesatuan negara bangsa.

Di saat Putrajaya dihumpan oleh orang semenanjung itu sendiri nanti, harap-harap waktu itu bukanlah saat yang terlewat untuk Adenan mengaku salah atas semua dosa dan kecuaian oleh BN Sarawak. Bukan sahaja cuai kepada rakyatnya, bahkan juga cuai dengan seperti sengaja menjadikan kedua wilayah Malaysia—semenanjung dan Sarawak—ini menjadi renggang tidak ketahuan. Saya yakin, hari itu tetap akan tiba juga nanti. Dan, sudah tidaklah begitu lama.

Hidup Sarawak! Hidup Malaysia!


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.

Lihat Komen
ADS