Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM sahkan dua wakil rakyat Umno dalam helikopter
Diterbitkan:  May 6, 2016 11:40 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan helikopter AS350 yang ditemui serpihannya berdekatan dengan Sungai Batang Lupar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi membawa enam orang.

Menurutnya, antara mereka adalah Timbalan Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Noriah juga adalah Ahli Parlimen Sungai Besar. Turut berada dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Helikopteryang membawa rombongan kenamaan itu dalam perjalanan dari Betong ke Kuching berlepas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong dengan lokasi terakhir dikesan di Triso, Sebuyau.

"Setakat ini kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan yang kita sudah kehilangan mereka," kata Najib pada sidang media pagi ini semasa ditanya sekiranya ini bererti semua mereka sudah tiada lagi.

Perdana Menteri berkata semua aset yang berkaitan sudah diarah melancarkan operasi dan menyelamat "semaksimum mungkin" di sekitar kawasan berkenaan.

Setakat ini antara serpihan yang ditemui termasuk, sebuah rotation device, sebuah kerusi, sebahagian daripada pintu, sebahagian rotor blade dan sebahagian dinding pesawat.

Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa kawasan serpihan itu ditemui amat luas, yang mungkin akan menyukarkan operasi mencari dilancarkan.

"Namun segala usaha dan aset yang dapat kita guna pakai dalam operasi ini kita akan mengerahkan semaksimum mungkin," katanya.

Beliau menganggap kejadian itu sebagai satu tragedi kemalangan yang tidak diduga dan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak berkaitan yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan cukup pantas.

Lihat Komen
ADS