Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Dua bulan sudah, ketika bekas menteri perdana Tun Dr Mahathir Mohamad mengumpulkan kawan dan lawan dalam sebuah bilik panas di sebuah bangunan dekat pintu belakang Universiti Malaya, saya sudah tanya - apa yang mahu dibuat orang tua ini sebenarnya.

Waktu itu kolum di The Malaysian Insider masih bernyawa.

Hampir ke hujung April lalu, think thank politik berpangkalan di Australia - The Strategist dilaporkan menganalisis bahawa Mahathir tidak akan mungkin menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak dengan sehelai kertas digelar Deklarasi Rakyat.

Dua bulan sejak ditandatangani; Deklarasi Rakyat masih lagi merupakan kerja tak siap yang belum punya hala tuju jelas, selain menyatakan rasa tidak setuju terhadap suami Rosmah Mansor berikutan cara beliau menangani skandal-skandal kewangan negara, terutamanya yang melibatkan tabung ayam milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Itu belum mengambil kita skandal derma RM2.6 bilion oleh orang kaya Saudi terus ke akaun peribadi perdana menteri, yang kemudiannya dikembalikan sebahagian besarnya kepada si penderma, bukti baik budi dan sikap jimat cermat tuan presiden United Malays National Organisation.

Dua bulan setelah deklarasi itu dilancar, banyak pihak masih berbalah tentangnya gara-gara Mahathir dan agenda memperkuda pembangkang, serta dakwaan pembangkang mahu memperkuda Mahathir.

Orang ramai yang tidak suka kepada Mahathir, mengambil pendekatan menjauh malah membantah deklarasi itu. Mereka yang lain, mendakwa punya pandangan jauh dan menggesa supaya deklarasi itu terus dipromosi, terutamanya di kalangan penyokong-penyokong Umno bagi mencarik-carik tapak sokongan pengundi Melayu yang bertaat setia kepada parti itu.

Perjanjian syaitan

Kawan-kawan yang melawan, punya premis yang hampir sama. Bahawa ia suatu perjanjian syaitan melibatkan si Mahazalim, dan ia tidak diwujudkan secara konsultasi bersama rakyat.

Perbalahan ini tidak akan berakhir, sehinggalah Mahathir memohon maaf atas dosa-dosa silam dan menggesa pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim; orang yang 16 tahun lalu disumbatnya ke penjara, diaibkan dan dipecat daripada rusuk kanannya.

Forum selepas forum, bincang selepas bincang, kempen demi kempen mendapatkan tandatangan, semuanya sudah dibuat, bagi membawa gagasan deklarasi rakyat serta muafakat untuk menyelamatkan Malaysia ke khalayak awam.

Hari demi hari para aktivis menahan rasa loya melihat selfie pemuka-pemuka Mahathir bersama kawan-kawan demonstrasi jalan raya. Sehingga hari ini pun, sukar kita menelan hakikat bahawa Lim Kit Siang dan Mahathir sudah berkongsi pentas beberapa kali untuk mengemukakan idea anti-Najib mereka.

Namun setelah dua bulan deklarasi itu muncul, telahan saya masih tidak dibuktikan salah. Ia masih sekeping kertas dengan tulisan politik, menjanjikan penambahbaikan dan desakan perubahan tanpa jaminan.

Tambah menjengkelkan, kuasa deklarasi ini, sebanyak mana pun yang masih tersisa, tidak membawa apa-apa kesan terhadap pertembungan politik paling besar tahun ini – pilihan raya negeri sarawak ke-11.

Selepas satu minggu melewati tempoh kempen, pihak-pihak yang mendesak pengunduran Najib tidak mampu membawa sentimen deklarasi itu ke Sarawak. Malah Mahathir pun tidak ke Sarawak, untuk sekurang-kurangnya meminjam pentas pembangkang bagi menyampaikan seruan anti-Najibnya. Barangkali kerana Mahathir masih mahu BN kuat di Sarawak, dan hanya mahu Najib Razak yang terbabas. Kita tidak tahu.

Malam minggu ini menanglah Adnan

Di Sarawak, isu 1MDB, hutang negara dan segala yang berkaitan dengannya tidak laku dijual kepada pengundi, terutamanya yang berada di luar bandar. Bahasa royalti minyak 20 peratus tidak mendapat perhatian. Mereka tidak mahu dengar. Di rumah-rumah panjang, air bersih dan bekalan elektrik pun tidak ada. Masakan mahu peduli skandal kewangan berbilion ringgit.

Itu belum ditambah dengan bahasa manis mulut Tan Sri Adenan Satem, yang bertali arus menuturkan kata-kata yang mahu didengar orang. Malah aktivis-aktivis semenanjung juga sudah banyak kali akur dan mengalah, memikir bagaimana dia boleh dikalahkan sementara ia menuturkan ‘all the right things’.

Najib Razak malah membawa mesyuarat kabinet ke Kuching, setelah kali terakhir kabinet bersidang di luar Kuala Lumpur 16 tahun lalu sewaktu pilihan raya umum zaman reformasi pada tahun 1999. Adenan diambil fotonya bersama kabinet, dengan tidak memakai tali leher warna merah sedondon anggota kabinet yang lain.

Adenan dengan cemerlang memasarkan dirinya kepada khalayak Sarawak, memetik ayat-ayat Injil, menjaja nasionalisme Dayak, melayangkan jari tengah kepada team Najib Razak di hadapan mata para pengundi, sambil diam-diam mencium tangan perdana menteri di balik tirai kempen pilihan raya.

Adenan memasarkan dirinya, dan pilihan raya negeri, sebagai sebuah pemilihan ketua menteri Sarawak. Orang Sarawak penyudahnya tidak memilih wakil rakyat kawasan masing-masing, tetapi mengundi BN yang simbolnya kini wajah tersenyum Adenan Satem.

Deklarasi Rakyat dan sentimen anti-Najib tidak begitu laku, sekurang-kurangnya di Bumi Kenyalang. Parti-parti pembangkang dilelahkan melawan Adenan Satem. Namanya disebut setiap hari, di setiap sidang media yang tidak lagi dilakukan secara bersama. Nama Najib Razak, tidak kerap disebut pula.

Malam minggu ini nanti, sama-sama kita saksikan kemenangan Adenan, sambil menanti bagaimana nanti pemimpin Pakatan saling bertikam dan melupakan keazaman untuk sama-sama menyelamatkan Malaysia daripada tangan rakus yang sibuk bertepuk meraikan jaya seraya ketawa melihat betapa tidak muafakatnya kita.

Semoga kita semua mengambil pengajaran dan segera menyusun semula gerakan.


IZMIL AMRI seorang penulis dan pemerhati politik.

Lihat Komen
ADS