Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN “Hanya 1 peratus rakyat Malaysia miskin, tegas menteri,” terpampang menjadi tajuk berita pada tahun 2015.

Menteri yang dimaksudkan ialah Idris Jala, ketua pegawai eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi DAN Pelaksanaan (PEMANDU).

Secara teknikalnya, beliau tidak salah, memandangkan Kaji Selidik Isi Rumah dan Pendapatan 2012 menunjukkan bahawa kurang 1 peratus isi rumah mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan.

Di Sarawak, garis kemiskinan rasmi berada pada takat 0.9 peratus – 0.5 peratus di kawasan bandar berbanding 1.6 peratus di kawasan luar bandar.

Sementara kemiskinan sudah hampir dibasmi secara keseluruhan, secara teknikalnya, cabaran pendapatan rendah masih belum lagi.

Jika diteliti dengan lebih dekat, statistik pendapatan isi rumah di Sarawak mendedahkan sejauh mana kesenjangan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Menurut kaji selidik isi rumah 2014, sebanyak 9.1 peratus isi rumah di kawasan luar bandar Sarawak mempunyai pendapatan RM1,999 ke bawah.

Mengikut sukatan ini, Sarawak berada di kedudukan kelapan terbawah, lebih baik berbanding negeri-negeri seperti Perak (17.7 peratus), Terengganu (12.2 peratus ) dan Kedah (13.6 peratus) dan tidak jauh di belakang Pulau Pinang (8.5 peratus).

Namun di kawasan pedalaman Sarawak, 33.1 peratus isi rumah mempunyai pendapatan kurang RM1,999, meletakkan Sarawak di tempat kedua terakhir di belakang Kelantan (39 peratus) (Lihat Rajah 1 di bawah).

Dengan kata lain, pendapatan rendah di kawasan pedalaman Sarawak masih lagi merupakan cabaran yang amat besar, terutamanya memandangkan pengangkutan dan kos-kos berkaitan lain di kawasan luar bandar Sarawak mengurangkan pendapatan boleh guna kebanyakan isi rumah.

Rajah 1: Peratus isi rumah dengan pendapatan RM1999 ke bawah di kawasan bandar dan luar bandar, 2014

Petunjuk-petunjuk lain turut memperlihatkan perbezaan ketara antara akses infrastruktur di kawasan bandar dan luar bandar.

Akses kepada bekalan air bersih dan tidak terputus di kawasan luar bandar adalah masalah yang berpanjangan di Sarawak.

Angka-angka HIS 2014 menunjukkan betapa lebarnya jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Sebanyak 98.4 peratus isi rumah di kawasan bandar Sarawak mempunyai akses kepada air paip di rumah yang setanding dengan Semenanjung Malaysia.

Namun hanya 61.6% isi rumah di pedalaman Sarawak mempunyai akses air paip di rumah, meletakkan Sarawak di tempat ketiga terbawah (mengatasi Kelantan dan Sabah) (Lihat Rajah 2 di bawah).

Sewaktu pilihan raya, tangki-tangki air baru akan diedarkan kepada rumah-rumah panjang di kawasan luar bandar.

Namun ketimbang mengedarkan tangki air, bukankah lebih baik jika memberi peruntukan untuk menyediakan bekalan air kepada rumah-rumah di kawasan ini?

Rajah 2: Peratus isi rumah dengan paip air di dalam rumah di kawasan bandar dan luar bandar, 2014

Satu lagi indikator jurang bandar-luar bandar di Sarawak adalah kadar pemilikan kereta.

Di kawasan bandar Sarawak, 84.9 peratus isi rumah memiliki sekurang-kurangnya satu kereta, setanding dengan Pulau Pinang (85.8 peratus).

Namun di kawasan pedalaman Sarawak, peratus pemilikan kereta jatuh sehingga 47.4 peratus (berbanding 69.3 peratus di kawasan luar bandar Kelantan dan 56.6 peratus di luar bandar Sabah) (Rajah 3 di bawah).

Bukannya orang Sarawak di kawasan luar bandar tidak mahu memiliki kereta terutamanya memandangkan jarak jauh yang mesti dilalui serta keadaan pengangkutan awam yang begitu teruk di Sarawak.

Tetapi saya syak pendapatan isi rumah yang rendah yang selalunya tidak sekata, memandangkan kebergantungan Sarawak terhadap pertanian, bermakna lebih banyak isi rumah tidak mampu mendapatkan pinjaman bank bagi membeli kereta.

Rajah 3: Peratus milikan kereta di kawasan bandar dan luar bandar, 2014

Pentingnya mempunyai akses kepada pengangkutan tambah diberi tumpuan ekoran jauhnya jarak perjalanan kanak-kanak ke sekolah di pedalaman Sarawak. Contohnya, 1.8% isi rumah di kawasan bandar Sarawak terletak lebih 9km dari sekolah menengah yang paling dekat. Tetapi di luar bandar Sarawak, angka ini meningkat sehingga 51.2% daripada isi rumah! (Lihat Rajah 4 di bawah)

Rajah 4: Peratus isi rumah yang terletak lebih 9km dari sekolah menengah terdekat, di kawasan bandar dan luar bandar, 2014

Ramai ibu bapa di kawasan luar bandar Sarawak terpaksa berjalan jauh untuk menghantar anak ke sekolah, terutamanya di peringkat sekolah menengah.

Keperluan berjalan jauh ini dikurangkan dengan menghantar anak-anak tinggal di asrama sekolah-sekolah menengah ini, yang kebanyakannya terletak di sekitar kawasan pekan daerah-daerah terpencil.

Pun begitu, hakikat bahawa hampir separuh isi rumah luar bandar Sarawak tidak memiliki walau sebuah kereta memperlihatkan kekurangan yang wujud di negeri ini.

Justeru, jika ada menteri yang bangga menyatakan bahawa kadar kemiskinan di Sarawak telah dikurangkan sehingga bawah 1 peratus, minta beliau rujuk statistik luar bandar Sarawak dari segi pendapatan isi rumah serta akses kepada kemudahan dan infrastruktur asas dan nantikan jawapannya dengan sabar.


DR ONG KIAN MING anggota parlimen DAP Serdang. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Lihat Komen
ADS