Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di sebalik nahas, khidmat Hornbill Skyways tak digantung

Di sebalik nahas udara membabitkan helikopter sewa khas jenis Eurocopter AS350 Écureuil di Sungai Batang Lupar, Sarawak, semalam, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan operasi Hornbill Skyways tidak akan digantung.

Sebaliknya, menurut Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya sedang memantau operasi syarikat itu dengan teliti.

“(Kami) belum buat siasatan (kerana) kita perlu tahu apakah sebenarnya berlaku.

"Kita kena siasat untuk mengetahui apa yang sebenarnya menyebabkan helikopter itu putus hubungan dengan menara kawalan.

"Operasi Hornbill Skyways tidak digantung lagi," katanya sambil menambah satu pasukan penyiasat sedang dalam perjalanan manakala DCA bertanggungjawab memantau sehingga bangkai pesawat itu dikesan.

Azharuddin berkata hubungan terakhir dengan helikopter itu adalah pada jam 4:15 petang selepas mereka berhubungan tiga minit setelah berlepas menuju ke Kuching.

Beliau juga enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca nahas itu apabila disoal wartawan sama ada berlakunya kesilapan teknikal atau pun jika helikopter berkenaan terhempas ke dalam sungai.

“Saya tak nak komen pasal itu sebab saya pun kena tunggu laporan apa yang berlaku. Tak boleh kaitkan apa yang berlaku pada satu kejadian lain.,” katanya.

Azharuddin yang baru tiba pagi ini di Kuching juga disoal sama ada khidmat dan operasi Hornbill Skyways digantung sejak semalam.

Namun, mernurutnya, beliau tidak dimaklumkan tentang perkara ini.

Ketua Pengarah DCA itu juga mengakui cabaran dalam misi mencari dan menyelamat kerana muka bumi tempat itu yang tidak menentu.

"Kami mempunyai bot daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta anggota tentera dan polis semua membantu dalam mencari bangkai pesawat itu.

“Jadi saya rasa ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi," katanya.

Azharuddin juga menggesa pihak media supaya menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarangspekulasi.

“Pihak keluarga telah dimaklumkan oleh pasukan lain, tolong jangan ganggu keluarga mangsa,” katanya.

Rakyat Sarawak akan keluar membuang undi esok sempena pilihan raya negeri ke-11.

Calon-calon yang bertanding mempunyai masa sehingga tengah malam ini untuk berkempen.

Seperti lazimnya, khidmat helikopter juga akan digunakan untuk membawa peti undi, khususnya di kawasan pedalaman ke pusat penjumlahan undi.

Lihat Komen
ADS