Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertembungan DAP-PKR di Ngemah pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini menyebabkan pemilih keliru.

Seorang penduduk dari kawasan Nganga Tada, Benjamin Awan, 46, berkata jika perubahan perlu dilakukan, keadaan semasa menyukarkan pilihan mereka.

"Memang patut buat perubahan sebab kita rakyat ada demokrasi. Kalau tak betul, nanti kita ubah balik. Kita bukan bermusuh tapi ini adab di Malaysia.

"Tetapi yang berlaku DAP dan PKR ini mengelirukan. Memang keliru. Kalau di semenanjung mungkin berbeza, ada tempat PKR boleh masuk (bertanding), DAP tak boleh. Tapi sepatutnya di Sarawak ini pun tak boleh juga.

"Ini tak masuk akal. Memang kita keliru," katanya.

Ngemah antara enam kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri pembangkang selain Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang dan Mambong.

Pada pilihan raya negeri lalu, Ngemah dimenangi calon BN Alexander Vincent dengan majoriti 995 mengalahkan empat calon lain daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan bebas.

Tahun ini pula berlaku pertandingan empat penjuru iaitu antara penyandang, DAP yang diwakili Richard Lias, Thomas Laja Besi (PKR) dan Dr Joseph Jawa Kendawang (Bebas).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah mempunyai 8,899 pemilih berdaftar dan terletak dalam daerah Kanowit. Majoriti pemilihnya terdiri daripada bumiputera bukan Islam 92 peratus, Cina (7 peratus) dan Melayu Melanau (1 peratus).

Elvis: Kenapa?

Sementara itu, Elvis Saliau, 48, pula berkata beliau masih membuat keputusan untuk pilihan raya esok susulan pertindihan calon pembangkang.

Beliau mengakui ingin membuat perubahan susulan “masalah setempat” dan bebanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Memang keliru. Saya tak pasti kenapa dua parti ini bertanding.

"Tapi saya rasa kita perlu bagi peluang lima tahun pada pemimpin yang baru sebab dalam masa lima tahun sebelum ini, masalah isu di kawasan pedalaman masih sama juga," luah Elvis.

Austin Undi, 48, pula mengalami dilema sama dengan Elvis.

"Saya tak tahu kenapa tapi saya rasa tak patut (pertindihan kawasan). Perkara macam ini susah nak cakap. Saya pun tak tahu nak pilih siapa.

"Kita ini orang luar bandar. Kadang-kadang peniaga ambil lebih dari jumlah GST sepatutnya. Sekarang ini baja pun mahal.

"Ada kata kita orang kampung tak tahu GST tapi kita tahu sebab barang semua naik. Kalau boleh kita nak cuba ubah," katanya.

Selain itu, tinjauan Malaysiakini di kawasan DUN Ngemah mendapati, walaupun berlaku pertembungan namun perang poster antara dua parti Pakatan Harapan itu tidak begitu meluas.

Malah, Malaysiakini juga dimaklumkan bahawa kedua-dua parti tersebut mengambil sikap 'tidak ambil tahu' terhadap parti lawannya selain BN.

Sebanyak 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dipertandingkan selepas BN menang dua daripadanya tanpa saingan.

Hari pengundian ditetapkan esok.

Lihat Komen
ADS