Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu bas ekspres dan pembantu ditahan cuba seludup warga Myanmar
Diterbitkan:  May 6, 2016 3:10 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Seorang pemandu bas ekspres dan pembantunya ditahan Jabatan Imigresen Kedah kerana cuba menyeludup keluar lima warga Myanmar ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Jabatan Imigresen Bukit Kayu Hitam Nar Azaman Ibrahim berkata kedua-dua lelaki tempatan berumur 30 dan 33 tahun itu ditahan di kompleks itu pada kira-kira jam 7.50 pagi.

Bas tersebut, katanya, ditahan selepas melepasi sekatan jalan raya Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) ke Thailand dan hasil pemeriksaan menjumpai lima warga Myanmar berusia lima hingga 38 tahun di dalam bas berkenaan.

"Pegawai Imigresen yang menjalankan pemeriksaan terhadap bas terbabit telah menjumpai dua lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak lelaki yang tidak dibenarkan turun oleh pemandu bas malah mereka diarah untuk membongkok dan bersembunyi di celah kerusi penumpang," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua lelaki itu telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Kesemua warga Myanmar itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan telah ditahan di lokap imigresen, bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS