Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebihan dagangan Malaysia naik 12.2% suku pertama 2016
Diterbitkan:  May 6, 2016 3:26 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Malaysia mencatat prestasi dagangan yang berdaya tahan pada suku pertama 2016 (1Q16), dengan jumlah perdagangan meningkat kepada RM346.38 bilion berbanding RM345.15 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Lebihan dagangan meningkat 12.2 peratus kepada RM23.94 bilion pada suku dalam kajian, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia yang dikeluarkan, hari ini.

Eksport Malaysia meningkat satu peratus dan mengukuh kepada RM185.16 bilion berbanding penurunan 2.5 peratus yang direkodkan pada 1Q15.

Pertumbuhan jumlah eksport direkodkan ke pasaran utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, jumlah import berkurangan kepada RM161.22 bilion berbanding RM161.91 bilion yang dicatatkan pada Januari hingga Mac 2015.

Secara keseluruhannya, eksport barangan perkilangan dan pertanian meningkat sepanjang 1Q16, namun merosot bagi barangan perlombongan.

Bagi Mac 2016, lebihan dagangan melonjak 52.2 peratus kepada RM11.19 bilion berbanding RM7.35 bilion pada bulan sebelumnya.

Berdasarkan tahun ke tahun, lebihan dagangan meningkat 43.1 peratus, dengan eksport meningkat kepada RM66.59 bilion berbanding RM66.47 bilion pada Mac 2015.

Import berkurangan 5.5 peratus kepada RM55.39 bilion, dengan jumlah dagangan sebanyak RM121.98 bilion atau penurunan 2.5 peratus.

Mengikut asas bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah dagangan mencatat pertumbuhan dua angka, masing-masing sebanyak 17.4 peratus, 12.2 peratus dan 15 peratus.

Pertumbuhan ketara dalam perdagangan direkodkan dalam kesemua pasaran utama. Dagangan Malaysia dengan ASEAN meningkat 2.6 peratus, China (+4.6 peratus), Amerika Syarikat (+11.1 peratus), manakala dengan Kesatuan Eropah, ia mengekalkan tahap yang sama seperti tahun lepas.

Pada suku pertama 2016, dagangan dengan rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) berjumlah RM216.98 bilion, atau 62.6 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia.

Eksport ke negara rakan FTA pula bernilai RM115.5 bilion dengan import sebanyak RM101.48 bilion.

- Bernama

Lihat Komen
ADS