Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buktikan rasuah RM2,000, Nancy cabar Kit Siang
Diterbitkan:  May 6, 2016 3:51 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mahu pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membuktikan dakwaannya mengenai rasuah politik di Sarawak dan bukan sekadar membuat tuduhan membabi-buta.

Beliau berkata, dakwaan Lim kononnya ada pengundi di Sarawak yang menerima sogokan sehingga RM2,000 hanyalah gimik politik untuk mencemarkan kredibiliti calon-calon BN dalam pilihan raya negeri itu.

“Jika dakwaan itu benar, kita minta beliau tunjuk bukti dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.

“Kita tidak boleh sekadar menuduh tanpa bukti. Kemungkinan ada pihak yang melakukan sebegitu dan menyalahkan pihak lain,” beliau memberitahu Umno Online.

Dalam hal berkaitan, Nancy menambah, beliau juga tidak terkejut jika pihak pembangkang memberikan pelbagai alasan untuk tidak membuat laporan perkara sedemikian.

Tambahnya, apabila agensi kerajaan seperti SPR atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyebelahi mereka, pembangkang akan cuba mempersoalkan kredibilitinya.

“Pembangkang akan menuduh agensi-agensi ini kononnya menyebelahi kerajaan, tetapi apabila agensi-agensi ini bertindak menyebelahi mereka, pembangkang senyap pula,” ujarnya.

Semalam, Lim mendakwa rasuah politik makin berleluasa di Sarawak ketika ini dengan ada antara pengundi disogok sehingga RM2,000 seorang dengan SPR terus mengambil pendekatan “tidak nampak, tidak dengar dan membisu”.

Ketika menteri-menteri Persekutuan dan negeri melanggar peraturan pilihan raya dengan mengumumkan peruntukan dan kelulusan pembangunan projek, SPR langsung tidak menggerakkan usaha memastikan pilihan raya negeri itu dijalankan secara adil, bebas dan bersih, tambah Lim.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, tuduhan pembelian undi dan pengundi hantu oleh pembangkang adalah skrip lama yang dikitar semula menjelang pilihan raya.

“Saya berada di Sarawak sejak hari penamaan calon, dan saya dapat lihat rakyat Sarawak matang apabila berpolitik.

“Sebab itulah ceramah pembangkang kurang mendapat sambutan dari rakyat.

“Pembangkang menggunakan propaganda untuk membantu calon-calon mereka tetapi pengundi menolak politik yang mengerilukan rakyat yang dibawa oleh pembangkang, terutama DAP,” ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS