Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes saman difail jurucakap G25, mahkamah saran proses mediasi
Diterbitkan:  May 6, 2016 5:47 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyarankan supaya kes saman fitnah difailkan jurucakap kumpulan bekas penjawat awam (G25) Datuk Noor Farida Ariffin terhadap seorang ahli perniagaan berhubung artikel yang dikatakan mendakwanya menghina agama Islam, diselesaikan melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Yap Boon Hau, yang mewakili Noor Farida, kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Yeoh Wee Siam yang turut dihadiri peguam Azad Bashir, mewakili Azmi Arshad selaku defendan.

Yap berkata mahkamah menetapkan 13 Mei untuk pengurusan kes.

Noor Farida, 60, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda memfailkan saman itu pada 7 Mac lepas, dengan mendakwa Azmi telah mengarang dan menerbitkan artikel bertajuk "Low Yat Is Only a Gentle Reminder" di World Wide Web yang dikenali sebagai Portal Islam & Melayu pada 13 Julai 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Farida selaku plaintif mendakwa artikel itu antara lain membawa maksud beliau telah menghina, memprovokasi agama Islam dan menyokong pemimpin DAP serta portal berita termasuk MalaysiaKini, Free Malaysia Today dan The Heat untuk mencemuh orang Islam.

Plaintif mendakwa artikel itu turut diterbitkan dalam akaun Facebook defendan atas nama Azmi Arshad pada tarikh sama (13 Julai), jam 2.10 pagi yang boleh dibaca dan diakses oleh pengguna laman sosial berkenaan serta menerima 1,042 tanda 'like', 90 komen dan telah dikongsi oleh pengguna Facebook sebanyak 370 kali sejak ia diterbitkan pada tarikh tersebut.

Noor Farida berkata satu surat bertarikh 20 Ogos 2015 telah dihantar kepada Azmi supaya beliau menarik balik penerbitan artikel itu daripada akaun Facebooknya tetapi defendan enggan berbuat demikian.

Beliau memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejen dan pekerjanya daripada menerbitkan semula perkataan fitnah itu.

Noor Farida juga menuntut ganti rugi am, perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf kepada plaintif, faedah, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS