Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesanan Zahid: 'Tutup buku lama, buka buku baru'
Diterbitkan:  May 6, 2016 6:31 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

"Tutup buku lama dan buka buku baru," itu pesanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada sebarang konflik dalaman parti-parti komponen BN di Sarawak pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11(PRN-11)

Timbalan perdana menteri mengakui setiap pemimpin mempunyai penyokong mereka sendiri, justeru sokongan kepada calon yang selain daripada pemimpin mereka, sudah tentu akan berbelah bahagi.

Namun, beliau mengagumi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi Sylvester Entri Muran, yang turun bersama beliau untuk beri sokongan penuh kepada calon langsung BN bagi kerusi itu dalam pilihan raya kali ini, Datuk Dr Penguang Manggil.

"Beliau juga meminta semua penyokong untuk sokong calon sebagai calon BN. Kalau beliau sudah sokong, pengikut jangan cakap apa-apa pula.

"Jangan buat poster tak elok, sebab kita berada di bawah satu payung," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rela di Marudi hari ini.

Di majlis itu, kedua-dua calon turut bersalaman dan berpelukan di atas pentas dan menerima tepukan serta sorakan gemuruh lebih 3,000 hadirin.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata atas semangat BN, semua jentera perlu bekerja keras untuk setiap calon yang telah dipilih.

"Esok hari paling penting untuk kita. Kita mahu tebus maruah. Kita mahu tolong Tok Nan (Ketua Menteri Sarawak). Pastikan Tok Nan jadi ketua menteri Sarawak semula.

"Kita mahu kerajaan Tok Nan kuat. Oleh itu yang lama dan yang baru perlu bersatu hati dan pastikan anak-anak buah masing-masing beri sokongan pada Tok Nan melalui calon yang dipilih," tambahnya.

PRN-11 bagi DUN Marudi akan menyaksikan Penguang berdepan calon PKR Elia Bit dan calon Bebas Luois Jalong.

Pada PRN 2011, Sylvester menang selesa dengan kelebihan 3,202 undi dalam pertembungan empat penjuru menentang calon PKR, SNAP dan Bebas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS