Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian terowong lebih mahal dari kebajikan rakyat Pulau Pinang?
Diterbitkan:  May 6, 2016 6:46 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menjelaskan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang mencecah RM305 juta.

Beliau berkata, jumlah itu adalah sekali ganda daripada perbelanjaan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP itu bagi program kebajikannya untuk warga emas, ibu tunggal, bayi baru lahir dan lain-lain, jelasnya.

Sambil memetik kenyataan wakil rakyat PKR dari Kebun Bungah, Cheah Kah Peng, Rahman berkata, laporan Jawatankuasa Akaun Awam Pulau Pinang menyatakan hampir RM139 juta telah dibayar kepada firma perunding untuk kajian tersebut.

" Kami berkongsi kebimbangan 6 wakil rakyat (lima dari PKR dan seorang dari DAP) yang menyifatkan RM305 juta adalah harga yang amat tinggi untuk dibayar bagi sekadar kertas kerja dan laporan.

"Tambahan pula, keperluan pelaksanaan projek itu masih diragui susulan pergerakan trafik di Jambatan Pulau Pinang yang secara umumnya masih rendah," jelas Abdul Rahman dalam kenyataan.

Kira-kira lima bulan yang lalu, lima wakil rakyat PKR di Pulau Pinang mengambil bersikap berkecuali pada sesi undian terhadap rancangan kerajaan negeri melaksanakan projek tebus guna tanah pinggir laut di negeri berkenaan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Umno, Muhammad Farid Saad (Pulau Betong).

Dipercayai ekoran rasa tidak senang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam hal itu, beliau bertindak menggugurkan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dari jawatan pengarah GLC.

Ong diketepikan daripada jawatan pengarah Penang Invest and Island Golf Properties Bhd manakala Cheah digugurkan daripada Perbadanan Bukit Bendera.

Seorang Adun DAP, Teh Yee Cheu (Tanjung Bungah) yang dikenali sebagai aktivis alam sekitar turut mengundi menyokong usul berkenaan sehingga membangkitkan ketegangan hubungan beliau dengan DAP Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin peruntukan sebanyak itu (RM305 juta) boleh dimanfaatkan untuk kebajikan penduduk Pulau Pinang.

"Selain itu, kerajaan DAP negeri Pulau Pinang melantik Consortium Zenith BUCG (CZBUCG) untuk menyediakan laporan kebolehlaksanaan ini bagi menentukan kesesuaiannya dengan ia juga adalah syarikat sama yang akan melaksanakan projek itu jika didapati bersesuaian.

"Jelas sekali, Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang tidak memahami istilah 'percanggahan kepentingan'," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS