Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komen negatif: Portal pro-Najib bidas orang Pakatan 'otak rosak'
Diterbitkan:  May 6, 2016 6:55 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Sebuah portal yang memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas orang ramai yang membuat catatan negatif dan menyebarkan imej palsu mengenai nahas helikopter, yang meragut nyawa seorang timbalan menteri manakala lima yang lain masih hilang.

Dalam artikel bertajuk “Nahas Helikopter: Buruk Perangai Orang Pakatan Terserlah”, portal Mykmu.net berkata otak penyokong pembangkang ramai yang sekarang ini rosak akibat pembohongan berterusan pemimpin mereka.

“Buktinya bila kejadian helikopter terhempas malam semalam, perdana menteri pula yang didoakannya berada dalam helikopter tu, gila dah ke?

“Ajal maut tangan Tuhan, bukan tangan Facebooker pembangkang,” katanya.

Menurut portal itu, terdapat juga gambar palsu yang menunjukkan duit berkoyan-koyan yang kononnya ditemui bersama bangkai helikopter berkenaan yang didakwa untuk diagihkan kepada pengundi di rumah panjang.

“Hello brader, helikopter tu dari Sebuyau nak menghala balik ke Kuching.

“Kuching mana ada rumah panjang!” katanya.

Komen dan gambar seumpama itu, menurut Mykmu membuktikan keadaan mental penyokong pembangkang.

“Tapi ini semulah bukti betapa rosaknya otak orang Pakatan.

“Mereka ni ingat mati tu berlaku bila jatuh helikopter saja ke, tak tahu ke kalau tengah menaip fitnah tu tetiba Tuhan nak tarik nyawa, boleh mati juga?” katanya.

Walau bagaimanapun, portal ini mengakui bahawa tidak semua "beruk" yang menyokong pembangkang berkelakuan dengan cara itu, tetapi menambah bahawa ramai di kalangan mereka berperangai demikian.

“Itu belum lagi kita ambik contoh bila helikopter itu baru saja hilang malam tadi, pembangkang dah sibuk sibuk cerita pasal nak buat persiapan pilihanraya kecil.

“Mentang-mentang bukan mak ayah dia atas helikopter malang tu. Kalau tidak, pasti tahu bagaimana perasaannya,” katanya.

Portal itu berkata ini petunjuk dan sebab mengapa parti pembangkang perlu ditolak, dalam apa kempen keadaan sekalipun.

“Pemimpin yang dinaikkan oleh penyokong gila macam ini, akan sama gila jugaklah,” katanya.

Pagi tadi, pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan helikopter itu dan juga jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Turut berada di helikopter itu adalah suaminya Asmuni Abdullah.

Penumpang lain termasuk Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Kuala Kangsar, KSU kementerian berkenaan Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Helikopter itu dipandu Kapten Rudolf Rex Raga.

Lihat Komen
ADS