Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: Calon PKR wira rakyat, wira saya
Diterbitkan:  May 6, 2016 9:25 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Sehari sebelum pengundi Sarawak membuat pilihan memilih wakil rakyat mereka esok Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghantar mesej dari jauh.

Dihalang memasuki Sarawak Azmin berkata calon PKR yang bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak adalah sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk dirinya.

"Mereka adalah wira rakyat. Mereka adalah pahlawan-pahlawan saya," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Azmin terbang ke Sarawak hari ini untuk membantu calon PKR berdepan dengan BN tetapi disekat di lapangan terbang.

Sebelum ini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem meminta pemimpin pembangkang tertentu menulis surat kepadanya untuk dipertimbangkan memasuki Sarawak.

Azmin bagaimanapun enggan menulis surat seperti diarahkan.

"Ketua Menteri mendesak saya agar menulis surat rayuan. Namun, apakah perlu saya melutut di hadapan Adenan kerana saya ingin bertemu saudara-saudari sekalian?" katanya.

Berapa lama mahu sabar

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata rakyat Sarawak "bertuah" kerana mempunyai calon yang bersemangat serta tekal terhadap untung nasib negeri berkenaan.

"Mereka berjuang berdekad-dekad lamanya demi Sarawak yang lebih gemilang, melindungi hak-hak rakyat, hak turun-temurun ke atas tanah adat Sarawak.

"Mereka bekerja siang dan malam tanpa mengira penat lelah dengan kelompok masyarakat yang berbeza.

"Inilah erti sebenar perjuangan demi hak-hak warga Sarawak. Sarawak merupakan pengasas bersama Persekutuan Malaysia," katanya.

Sementara itu Azmin berkata walaupun tiada sesiapa mempersoal asas Perlembagaan Persekutuan, PKR tidak pernah ragu terhadap isu autonomi Sarawak "yang dekat di hati sanubari rakyat".

"Kita yakin sepenuhnya bahawa rakyat Sarawak wajib menerima hak yang memang sepatutnya menjadi hak mereka.

"Sudah sekian lama, BN cuai melindungi hak-hak rakyat Sarawak. Seramai 25 orang anggota BN bersekongkol menyokong GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menghisap darah rakyat.

"Berapa lama lagi rakyat Sarawak harus bersabar dinafikan berbilion ringgit royalti minyak yang menjadi hak mereka?" katanya.

Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan pada pilihan raya negeri kali ini dan dua daripadanya sudah dimenangi wakil BN iaitu Bukit Kota dan Bukit Sari.

Lihat Komen
ADS