Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Irshad Manji kahwin pasangan sejenis
Diterbitkan:  May 10, 2016 4:21 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

GLOBAL Penulis dan tokoh kontroversi dari Kanada, Irshad Manji mengumumkan perkahwinannya dengan pasangan sama jantina di Hawaii, Sabtu lepas.

Penulis yang juga aktivis Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) itu menikahi kekasihnya, Laura setelah sekian lama menjalinkan hubungan.

"Baru berkahwin! Foto album akan menyusul. Tapi untuk sekarang, terima kasih atas ucapan tahniah dan doa. Saya dan Laura telah membaca setiap komen. Kami sangat bersyukur," tulis Irshad di laman Facebooknya semalam.

Wanita kelahiran Uganda pada tahun 1968 itu terkenal kerana pemikiran kontroversinya, terutama kritikannya terhadap ajaran Islam.

Irshad pernah datang ke Malaysia untuk melancarkan dan mempromosikan buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta atau dalam versi Bahasa Inggeris 'Allah, Liberty And Love' pada tahun 2012.

Bagaimanapun kehadirannya ke negara ini mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman keras terutama daripada pertubuhan dan NGO Islam.

Buku berkenaan diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mei 2012, manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut melakukan serbuan di syarikat penerbit buku itu- ZI Publications pada bulan yang sama.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga merampas buku berkenaan serta mendakwa pekerja kedai buku Borders, Nik Raina Nik Aziz kerana mengedarnya pada Jun 2012.

Pada 9 Julai 2012, ZI Publications memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan perintah larangan itu tidak sah serta melanggar Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Mahkamah Tinggi kemudian membatalkan pengharaman buku itu pada September 2013.

Irshad juga sempat berkunjung ke Indonesia pada tahun 2008 dan 2012 untuk mempromosikan buku berjudul The Trouble with Islam Today: A Wake-Up Call for Honesty and Change.

Buku tersebut juga diterjemahkan dalam Bahasa Indonesia dengan judul Beriman Tanpa Rasa Takut: Tantangan Umat Islam Saat Ini.

Lihat Komen
ADS