Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan: Kalau tak rasis, kenapa suruh 'skru' Melayu'?
Diterbitkan:  May 10, 2016 5:41 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengkritik ucapan kontroversi pemimpin DAP, Hew Kuan Yew menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

"Jika pemimpin DAP tidak anti-Melayu, maka mengapa meminta pengundi untuk mengundi calon DAP untuk 'skru' Melayu? Ucapan kamu direkodkan dalam video.

"Lihat video itu dan nilai sendiri sama ada pemimpin DAP berkata mengundi calon mereka untuk 'skru orang Melayu' ... Anda jadi hakim," katanya dalam laman sosial.

Hew berhujah bahawa beliau tidak akan meminta pengundi memilih calon Melayu DAP, Abdul Aziz Isa berbanding calon Cina jika beliau adalah anti-Melayu.

Beliau juga mendakwa kenyataannya itu merujuk kepada mereka yang mengamalkan rasuah.

Bagaimanapun, dalam ucapan yang dibuat dalam bahasa Mandarin, Hew menyebut bahawa Abdul Aziz perlu dipilih ke Dewan Undangan Negeri untuk "skru Melayu" sebelum menambah bahagian tentang 'mereka yang rasuah'.

Ucapan itu dibuat melalui Skype dan disiar menjelang pertandingan bagi kerusi Batu Kitang, yang kemudian menyaksikan kekalahan DAP.

Sementara itu, Tan juga mengheret Lim Kit Siang dalam isu berkenaan.

Dengan menyebut Veteran DAP itu dalam tweet beliau, beliau bertanya sama ada Lim akan menggesa parti itu untuk menyiasat kenyataan Hew.

Abdul Aziz juga mempertahankan Hew, dengan mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat kepada mereka yang rasuah.

Terdahulu, pemimpin jawatankuasa pusat MCA membidas DAP kerana memainkan isu sentimen perkauman dan agama.

Lihat Komen
ADS