Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Hubungan biasa dengan PKR tapi PAS tetap tanding

Walaupun terdapat laporan bahawa PAS dan PKR berselisih berhubung dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan datang, namun presiden parti Islam itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas bahawa hubungan semasa antara mereka masih macam biasa.

Bagaimanapun, katanya, PAS akan tetap bertanding di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun depan.

"Hubungan masih macam biasa. (Tapi) kita tetap akan bertanding (dalam PRK)," kata Hadi kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur malam tadi, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS.

Beliau berkata jawatankuasa pilihan raya PAS akan mengumumkan calon parti itu untuk PRK berkenaan tidak lama lagi.

Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai hubungan semasa PAS dan PKR, selepas muncul laporan yang mendakwa kata dua dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kepada parti Islam itu supaya mengosongkan jawatan exco negeri jika ia berkeras untuk bertanding di Sungai Besar.

Hadi juga ditanya apa yang akan beliau lakukan sekiranya Azmin yang juga timbalan presiden PKR, berbuat demikian.

"Kita tunggu dia buat atau tidak. Nanti kita tunggu tindakan dia," kata Hadi.

Hadi telah berkata sebelum ini bahawa PAS bersedia untuk kehilangan jawatan exco negeri di Selangor ekoran keputusan parti itu untuk bertanding dalam dua PRK berkenaan.

Akhbar harian berbahasa Inggeris The Star melaporkan Khamis lalu bahawa Azmin didakwa telah mengeluarkan kata dua itu kepada PAS. Azmin menafikan laporan itu pada hari yang sama.

Ini berikutan spekulasi bahawa Azmin cuba berunding dengan PAS supaya tidak meletak calon bagi membolehkan calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding satu lawan satu dengan BN.

Bagaimanapun, angota gabungan HARAPAN - Parti Amanah Negara (AMANAH) juga telah menyatakan minatnya untuk bertanding dalam PRK itu.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya diperuntukkan kepada PAS ketika bersama Pakatan Rakyat yang kini telah berkubur.

Kedua-dua kerusi itu kosong ekoran penyandang mereka, industri perladangan lewat dan komoditi Timbalan Menteri Noriah Kasnon dan Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS