Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Undang-undang larang penukaran unilateral tak berperlembagaan'
Diterbitkan:  May 23, 2016 12:40 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Walaupun kerajaan sedang dalam proses merangka undang-undang untuk mengharamkan penukaran unilateral bawah umur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata mana-mana undang-undang untuk mengharamkan penukaran unilateral adalah tidak berperlembagaan.

"Dalam konteks sistem undang-undang dan badan kehakiman di Malaysia, mahkamah, sama ada sivil atau Syariah, berpegang kepada prinsip keadilan dalam memastikan bahawa pihak-pihak dalam isu unilateral terbela dan terjaga.

"Bagi maksud tersebut, undang-undang untuk mengharamkan penukaran unilateral adalah bertentangan dengan Fasal 4, Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama anak yang berumur di bawah 18 tahun boleh ditentukan oleh ibu atau bapa masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Jamil Khir merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes penukaran agama R Subashini.

"Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa agama kanak-kanak di bawah 18 tahun boleh ditentukan oleh ibu atau bapa masing-masing,” katanya.

Beliau mengulas soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang meminta kerjaaan menyatakan bila undang-undang untuk mengharamkan penukatan unilateral akan digubal.

Pada 9 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata draf undang-undang berkaitan dengan penukaran unilateral bawah umur itu telah lengkap.

"Dari segi (undang-undang) sivil, kita tidak mempunyai banyak masalah, tetapi ini juga berkaitan dengan (undang-undang) syariah," katanya.

Dari aspek undang-undang syariah, menurut Nancy, Jamil terpaksa mendapatkan maklum balas daripada badan-badan agama negeri.

"Beberapa siri rundingan dengan negeri-negeri telah dijalankan," katanya.

Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa khas lima anggota sebagai usaha terbaru untuk menangani pertikaian penukaran agama dan hak penjagaan anak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS