Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Pusat meluluskan pembinaan jambatan ketiga secepat mungkin sebelum pihaknya dapat menghantar lakaran pembinaan jambatan tersebut kepada kerajaan.

Menurut Lim, kelulusan daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sangat diperlukan kerana lakaran pembinaan oleh pakar dan jurutera memakan kos amat tinggi.

“Kita harap menteri akan mempertimbangkan permohonan (daripada kerajaan Pulau Pinang sebelum ini) kerana lakaran (pembinaan) jambatan adalah sangat mahal.

“Beri dulu kelulusan (pembinaan) kerana tanpanya, amat sukar untuk kita membelanjakan peruntukan bagi menyiapkan lakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Fadillah menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk membina jambatan ketiga.

Mengikut cadangan jambatan ketiga itu akan menghubungkan Bagan Ajam di Butterworh dengan Persiaran Gurney.

Lain-lain pun tak jawab

Penyelesaian alternatif itu didakwa boleh menjimatkan sekurang-sekurangnya RM2 bilion dana kerajaan berbanding cadangan projek pembinaan terowong dasar laut.

Menurut Lim, surat permohonan pembinaan jambatan tersebut telah diberikan kepada Pusat "bertahun" dulu tetapi sehingga kini tiada balasan diterima.

Sehubungan itu anggota parlimen Bagan itu memberitahu, kerajaan Pulau Pinang akan menghantar surat sekali lagi kepada menteri kerja raya.

"Selagi kerajaan Persekutuan tidak bersetuju maka kita tak boleh buat apa apa.

"Di sini saya sekali lagi merayu menteri kerja raya berikan kelulusan kerana (pembinaan jambatan ketiga itu) akan dibiayai kerajaan Pulau Pinang. Kita akan buat surat (lagi) tapi semua surat kerajaan negeri buat (sebelum ini), tak jawab langsung, sudah bertahun buat surat.

"Bukan saja perkara ini, perkara lain pun. Tak (ada) jawab langsung. Oleh itu kita rayu menteri kerja raya, kami tak ada masalah dengan menteri. Jadi kami harap beri kelulusan kerana kerajaan Perskeutuan tak perlu belanja satu sen dan ia (pembinaan jambatan ketiga) dibiayai kerajaan negeri," katanya lagi.

Sementara itu ditanya mengenai ‘lawatan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke rumahnya, semalam, di Jalan Pinhorn, Lim berkata: “You (awak) rujuk dengan peguam saya”.

Lihat Komen
ADS