Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi perjelas isu 'lembu Umno, babi DAP'
Diterbitkan:  May 23, 2016 4:09 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Ramai tertanya-tanya sama ada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang benar-benar berkata lebih baik PAS “mengembala lembu Umno daripada babi DAP”.

Bagaimanapun, jawapan beliau di parlimen hari ini mungkin tidak dapat merungkai tanda-tanya itu.

Ketika diminta mengesahkan laporan itu Hadi hanya menjawab Islam tidak menghalang golongan bukan Islam membela babi.

“Maksud saya Islam tidak menghalang orang bukan Islam, yang dibenarkan oleh agama mereka, termasuk menternak babi dan lain-lain. Itu hak mereka.

“Tetapi tidak boleh libat orang Islam,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu hendak beredar daripada bangunan parlimen hari ini.

Beliau ditanya soalan dalam bahasa Inggeris, sama ada beliau benar-benar mengeluarkan kenyataan itu seperti dilaporkan The Star sebelum ini.

Tidak jelas sama ada Hadi tidak jelas terhadap soalan pemberita atau sengaja mahu mengelak isu itu.

Dibuang dari artikel

Semakan juga mendapati bahagian berkenaan telah dipadamkan daripada artikel asal.

Pemberita tidak dapat bertanya lanjut kepada Hadi hari ini kerana beliau bergegas masuk ke dalam kereta dan menutup pintu sebelum berlalu.

Hadi sebelum ini dilapor berkata demikian pada mesyuarat khas berkaitan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar di rumahnya di Terengganu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 19 Mei lalu menuntut pengesahan Hadi sama ada beliau benar-benar mengeluarkan kenyataan kesat itu.

Artikel itu melaporkan Hadi bersedia membenarkan tiga exconya di Selangor dipecat selepas mendapat amaran oleh kerajaan Selangor jika PAS bertegas meletakkan calon di Sungai Besar.

PAS Selangor menyangkal spekulasi berhubung 'kata dua' dari Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali itu.

Lihat Komen
ADS