Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa Agong jadi tahanan, laporan polis pada Dr M
Diterbitkan:  May 23, 2016 5:57 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Berikutan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Yang di-Pertuan Agong kini menjadi tahanan dalam rumah (house arrest), satu laporan polis telah dibuat ke atas bekas perdana menteri itu.

Bekas Pengerusi Transparency International Malaysia, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan itu kerana berpendapat kenyataan dibuat Mahathir itu akan mengancam keselamatan negara.

“Kenyataan yang dibuat Tun Mahathir tidak ada asas, ia sangat bahaya kepada keselamatan negara. Jadi kerana itu kami buat laporan polis hari ini.

“Kami berharap pihak keselamatan mengambil tindakan sebelum perkara ini menjadi tidak terkawal. Ia sangat bahaya,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Mahathir mendakwa beliau gagal mendapat perkenan mengadap Agong untuk menyerahkan lebih sejuta tandatangan menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, beliau gagal bertemu Agong memandangkan baginda kini menjadi "tahanan dalam rumah".

Laporan itu dibuat oleh Tunku Abdul Aziz bersama dengan beberapa individu daripada Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Menurut Tunku Abdul Aziz yang juga adalah bekas naib pengerusi DAP, Mahathir telah membuat pelbagai tuduhan terhadap Najib semata-mata kerana mahu presiden Umno berundur.

“Demi kepentingan keamanan dan keharmonian negara, tingkah laku Tun Mahathir tidak boleh diketepikan dan saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Tun Mahathir,” katanya.

Tunku Abdul Aziz yang juga anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, laporan yang dibuatnya atas kapasiti individu.

“Saya bercakap atas kapasiti saya sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS