Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bubar AMANAH jika gagal raih 3,000 undi di 2 PRK
Diterbitkan:  May 23, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao mencabar Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu supaya membubarkan parti itu jika mereka gagal menyerlah dalam pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini.

Beliau membuat cabaran terbuka itu dalam kenyataan media hari ini.

Kata Ramesh beliau melihat AMANAH begitu bernafsu mahu meletakkan calon pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Ini cabaran terbuka kepada pucuk pimpinan AMANAH!! Bubarkan parti AMANAH jika terima kurang 3,000 undi di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya.

Ramesh berkata pada pilihan raya Sarawak baru-baru ini, AMANAH gagal memperoleh walaupun satu kerusi, sebaliknya semua sembilan calon diketengahkan parti itu kehilangan deposit RM5,000.

Beliau berkata, tiada sebarang faedah untuk AMANAH menjadi wadah perjuangan rakyat jika gagal memperolehi undi melebihi 3,000.

Hal itu kerana, kata Ramesh, ia berbeza dengan apa yang sering diperkatakan pemimpin AMANAH bahawa parti itu menjadi pilihan rakyat.

"Jangan lupa bahawa AMANAH adalah parti serpihan PAS selepas pemimpinnya gagal menang ketika pemilihan," kata Ramesh.

Hari penamaan calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Jun ini.

Lihat Komen
ADS