Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya masih ada ruang untuk rundingan dengan PAS berhubung calon pembangkang pada pilihan raya kecil akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya PKR tidak membuang masa memandangkan PAS tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu.

"Bagi saya, kita masih mempunyai masa sebelum hari penamaan calon (5 Jun) dan pilihan raya kecil (18 Jun). Masih ada ruang untuk berbincang.

"Kita perlu berbincang demi rakyat, kita perlu berfikir mengenai rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen petang ini.

Ditanya jika ini bermaksud beliau akan meneruskan perbincangan, Wan Azizzah menjawab: "Ya, sudah tentu Ini adalah penting apabila kita akan melalui pilihan raya. Masih ada masa untuk merancang demi kebaikan rakyat.."

Ketika ditanya sama ada beliau percaya rundingan akan berjaya, Wan Azizah berkata: "Kita boleh cuba."

Hari ini, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad memberitahu pemberita bahawa perbincangan dengan PAS tidak akan menghasilkan sebarang keputusan.

Beliau berkata ini adalah kerana PAS yakin mereka boleh menang kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan kekuatan sendiri tanpa bantuan pihak pembangkang yang lain.

Tambahan pula, beliau berkata PAS menganggap kedua-dua kawasan parlimen sebagai kerusi tradisional parti berkenaan

Khalid berkata Amanah bersedia untuk mewakili Pakatan Harapan dan bertanding di kedua-dua kerusi itu kerana mempercayai PKR akan menghadapi masalah untuk berbuat demikian.

Rundingan sedang diadakan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN, kerana pertandingan tiga penjuru akan menyaksikan sokongan memihak kepada parti pemerintah.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu adalah antara calon senarai pendek parti serpihan PAS itu untuk bertanding di Sungai Besar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Noriah Kasnon (MP Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Kangsar).

Kedua-dua mereka adalah antara enam orang yang terkorban dalam nahas helikopter semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak, awal bulan ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS