Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Laporan mendakwa mudahnya mendapat wang dengan mengemis menimbulkan kemarahan persatuan orang kurang upaya.

Mereka mendakwa artikel dalam sebuah akhbar harian berbahasa Melayu itu mengaibkan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar kewangan mereka.

Jurucakap Persatuan Kebajikan OKU Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) Mohamad Alib Ahmad berkata, laporan yang mendakwa pengemis mampu mendapat sehingga RM500 sehari itu tidak realistik.

“Saya nak dia (wartawan yang menyamar) turun bersama dengan orang buta. Tengok boleh dapat tak RM500 sehari.

“Dia telah mengaibkan kita, seolah-olah kita banyak duit sangat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.



Tabloid itu pada Jumaat lalu melaporkan dua wartawannya menyamar sebagai pengemis buta di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mereka dilapor mengutip RM183 tidak sampai tiga jam.

“Dalam tempoh hampir tiga jam pun sudah RM183, jika enam jam sehari mengemis mungkin mampu memperoleh lebih RM500 dan jika sebulan jumlahnya RM15,000,” laporan itu dipetik.

“Kami juga membayangkan sekiranya pengemis sepenuh masa memperoleh jumlah yang sama kami dapat melalui penyamaran, sudah pasti kehidupan mereka lebih mewah berbanding golongan bekerjaya dan mempunyai pendapatan tetap.”

Beliau juga berkata orang buta bukan meminta sedekah tetapi menjual barang-barang seperti tisu dan coklat kepada orang ramai.

Beliau turut menafikan kepercayaan umum bahawa pengemis mempunyai kaitan dengan sindiket.

Malaysiakini telah menghubungi akhbar itu bagi mendapatkan reaksi mereka berkaitan laporan itu.

Lihat Komen
ADS