Paling Popular
Terkini

Pada akhir 2015, Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Islamic Tourism Centre melancarkan standard melibatkan pelancongan Islam yang bertujuan menjadi garis panduan penggiat industri mengendalikan pelanggan mereka yang beragama Islam.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika itu berkata standard yang diberi nama 'MS2610:2015 - Perkhidmatan Hospitaliti Mesra Muslim - Keperluan itu berperanan memelihara dan melindungi sistem serta integriti produk perkhidmatan dan pelancongan Islam negara.

"Bagi pengusaha hotel, pengendali pelancongan dan pemandu pelancong, dokumen ini akan memberikan bimbingan dan penjelasan untuk perkhidmatan terbaik kepada pelanggan beragama Islam," katanya mengenai standard itu.

Tahun ini kerajaan dilaporkan menyasarkan untuk menarik 3.2 juta pelancong Islam. Pelancongan Islam kini merupakan sektor yang tinggi dari segi jualan, mencatat lebih US$140 bilion pada 2014 dalam jualan global tidak termasuk haji dan umrah. Keseluruhan daripada aktiviti melancong dan ziarah ini, jualan dijangka melebihi US$230 bilion pada 2020.

Buat masa ini tiada peraturan di Malaysia yang mengawal sektor pelancongan Islam dan penerima standard ini juga adalah atas dasar sukarela. Bagaimanapun ITC mahu menggalakkan amalan standard ini dalam kalangan penggiat industri terutama yang mahu melakukan perubahan dalam operasi mereka untuk menawan pasaran pelancongan Islam.

Ketika perbincangan mengenai pembentangan standard itu, beberapa peserta bidang perhotelan secara langsung telah merujuk kepada kejayaan pelaksanaan pematuhan syariah di Kumpulan Hotel De Palma yang diperkenalkan Pengurus Besarnya ketika itu Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin.

Mohd Ilyas, yang juga Pengarah Urusan Biztel Sdn Bhd, mengambil langkah mentransformasi Kumpulan Hotel De Palma daripada hotel konvensional kepada "hotel Islam' sejak 2008 dengan menawarkan beberapa perkara baharu dalam bidang hospitaliti di Malaysia, berlandaskan pematuhan syariah.

Sesuai untuk pengguna Islam pelbagai golongan, De Palma memberi kemudahan bilik-bilik yang selesa dengan kemudahan untuk beribadah, tiada alkohol, bilik mesyuarat dan bankuet yang berdekatan dengan surau, tiada aktiviti perjudian dan tiada aktiviti hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Pelbagai program mengisi konsep pematuhan syariah ini juga banyak dianjurkan oleh hotel itu seperti majlis ilmu, solat tarawih dan Qiamulail setiap Ramadan, program melibatkan anak yatim dan majlis perkahwinan Islam, malah surau di Hotel De Palma, Ampang, Selangor diberi kebenaran mengadakan solat Jumaat untuk jemaah di kawasan sekitarnya.

Kesemua aktiviti ini diterima oleh masyarakat pengguna Islam menjadikan Hotel De Palma adalah antara venue yang diyakini mampu memenuhi kehendak mereka yang mematuhi keperluan syariah.

Kebersihan ialah standard

Bagi Mohd Ilyas, standard pertama yang diutamakan beliau untuk keperluan perkhidmatan pengguna dan pematuhan syariah ialah kebersihan. Kebersihan adalah amalan hotel De Palma baik dari segi keseluruhan keadaan hotel, perkhidmatannya, pakaian petugasnya hinggalah kepada penyediaan makanannya.

Makanan halal harus disediakan dalam keadaan bersih dengan permulaan yang bersih, kata Mohd Ilyas. Maka tidak hairanlah jika sesiapa yang terserempak dengan pekerja hotel itu mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum memulakan tugas menyediakan makanan.

Faktor ini pernah menarik tetamu dari Jepun yang menginap di hotel itu yang tidak ragu-ragu untuk kembali sekali lagi walaupun hotel itu tidak bertaraf lima bintang.

Mohd Ilyas berkata masyarakat kebanyakannya telah mula berjinak dan menunjukkan minat terhadap hotel berkonsepkan pematuhan syariah ini dan standard yang diamalkan menjadi lebih mudah untuk diterima pengguna.

Dari sudut komersial, pemilik hotel yang membangunkan hotelnya dengan mengambil kira konsep pematuhan syariah ini amat wajar digalakkan kerana hotel 'mesra muslim' ini sengaja dicari dan menjadi pilihan ramai pelancong terutama dalam kalangan 1.8 bilion pengguna Islam.

Ini berdasarkan pelbagai portal dan laman web yang wujud menawarkan pengurusan untuk pakej produk mesra Muslim dan permintaan tinggi secara online yang dilakukan pengguna Islam dan bukan Islam termasuk hotel-hotel dan pakej pelancongan di Malaysia.

"Saya kadang-kadang melihat seorang musafir itu tidak perlu menukar cara hidupnya jika beliau menghadiri seminar di De Palma misalnya, kerana daripada penyediaan makanan halal, tempat beribadah dan kemudahan lain, ceramah agama dan jika berpuasa disediakan kurma dan air zam-zam, seolah-olah mereka berada di rumah sendiri, ketika menginap di sini. Mereka tidak perlu melangkah keluar hotel untuk mendapatkan keperluan ruhani mereka," katanya.

Operasi pematuhan syariah

Semasa beliau memperkenalkan konsep ini di De Palma, Mohd Ilyas tiada kayu ukur spesifik untuk diikuti tetapi kini hotel itu menjadi contoh pengusaha lain dari beberapa negara jiran dan pelajar universiti yang datang membuat kajian.

"Saya pernah ditanya, sama ada hotel ini membuat pemeriksaan terhadap pasangan yang datang menginap. Sebenarnya testimoni pematuhan syariah kami secara semula jadinya membuatkan tetamu juga menghormati peraturan," katanya.

Namun ada komen dalam sebuah portal pelancongan mengatakan De Palma tidak menyediakan kemudahan kolam renang berasingan untuk tetamu lelaki dan perempuan seperti hotel-hotel di Turki atau hotel di Malaysia misalnya yang berkonsepkan pematuhan syariah pada hal itu adalah satu keperluan standard.

Mohd Ilyas berkata sememangnya itulah yang beliau utamakan jika beliau mempunyai hotel bertaraf lima bintang untuk diusahakan, bukan tiga bintang seperti sekarang. Beliau telah memulakan konsep pematuhan itu dengan kemudahan yang sedia ada dan ia boleh dilaksanakan apabila hotel itu dinaik taraf.

Dalam hubungan ini beliau mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan untuk menyediakan syarat bahawa bangunan baharu termasuk kompleks beli belah dimestikan menyediakan ruang yang cukup luas dan berasingan untuk surau dan kolam renang misalnya ke arah mematuhi standard yang mahu dilaksanakan.

"Kalau kita tengok sekarang, bangunan hotel, bank atau kompleks besar beli belah, suraunya kecil, di sudut tersorok atau di parking besmen pun ada," katanya.

Jihad halal

Dari sudut perniagaan, pengusaha hotel yang mengamalkan konsep pematuhan syariah, akan membuka jaringan yang sangat besar dalam industri halal, kata Mohd Ilyas dan ini dipersetujui Ketua Pegawai Eksekutif TH Global & Services Sdn Bhd Adly Mohamed.

Mengambil contoh set mandian yang dibekalkan untuk rangkaian TH Hotel , semuanya produk halal yang memerlukan pengeluaran khusus daripada pembuat tertentu.

Adly berkata TH Hotel juga memilih haruman set mandiannya berasaskan tembikai susu, iaitu produk buah-buahan tempatan.

Secara tidak langsung, ia kembali kepada misi atau jihad TH membantu ummah, mengembangkan perniagaan Islam dalam bidang lain pula, katanya.

Begitu juga dengan Hotel De Palma yang pada awalnya memesan produk yong tau foo daripada sebuah syarikat Bumiputera yang kini popular dalam kalangan pengguna Islam kerana mengeluarkan produk yong tau foo halal.

Kembali kepada standard yang mahu diikuti dan pematuhan syariah yang tidak terhad kepada penyediaan makanan halal dan pekerja berpakaian menutup aurat semata-mata, Mohd Ilyas dan Adly bersetuju bahawa tenaga kerja dalam bidang hospitaliti ini perlu dilengkapkan dengan ilmu dan kepakaran yang seiring.

Maka itu kedua-dua mereka tidak jemu menghantar pekerja mereka untuk mendapatkan latihan secukupnya dari segi vokasional dan profesional.

Mereka sedar, hotel berkonsepkan pematuhan syariah ini membuka peluang pekerjaan untuk wanita berhijab, tenaga kerja dan profesional Islam yang kurang diterima dalam sektor lain malah di hotel konvensional sendiri yang tidak menggalakkan wanita berhijab bekerja di barisan hadapan.

Memang bidang hospitaliti ini masih bukan menjadi pilihan atau tumpuan utama di negara ini dari segi tenaga kerja umpamanya, tetapi kedua-dua mereka melihat ke hadapan, jika konsep pematuhan syariah ini benar-benar dilaksanakan dan disokong dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang banyak dibangunkan kini, sambutannya akan menjadi seimbang dari segi permintaan dan penawaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS