Paling Popular
Terkini

Barisan Nasional (BN) mempunyai beberapa pendekatan yang disifatkan sebagai 'munasabah' dalam usaha memikat pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata pendekatan mesra golongan muda tersebut akan disesuaikan mengikut situasi setempat.

"Kita mempunyai beberapa pendekatan munasabah yang disesuaikan dengan situasi setempat. Kita yakin kaedah itu akhirnya akan menerobos minda kumpulan sasaran (golongan muda)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan pimpinan BN Selangor di Sekinchan hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai pendekatan tersebut.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mengenai usaha menarik pengundi bukan Melayu, Ahmad Zahid berkata UMNO akan bekerjasama dengan parti-parti komponennya dalam kempen PRK itu nanti.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu juga memberi mandat sepenuhnya kepada kepimpinan BN Selangor dan jentera parti di Sungai Besar untuk memastikan kemenangan BN.

Beliau berkata walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, BN hanya memperoleh majoriti 399 undi, beliau yakin jumlah itu dapat ditingkatkan lagi menerusi kerja kuat dan perpaduan seluruh jentera parti.

"Kita (semua jentera BN) perlu ketepikan kepentingan peribadi. Kita buktikan kita akan peroleh kemenangan paling besar. Jentera yang kuat, adalah jentera anak-anak tempatan..." katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS